Kos Selenggara Setiap Kamera AWAS RM112,800 Setahun

oleh Qalif Latif|
Kementerian Pengangkutan memaklumkan setiap unit kamera Automated Awareness Safety System (AWAS) memerlukan kos penyelenggaraan kira-kira RM112,800 setahun, meliputi kerja penyelenggaraan berkala, pembaikan dan kalibrasi secara berkala.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, angka tersebut merupakan kos penyelenggaraan bagi setiap kamera. Jumlah yang sering diperkatakan lebih tinggi pula merangkumi komponen lain yang dikongsi di peringkat pusat.

Menurut beliau, komponen tersebut melibatkan kontrak berkaitan bagi memastikan sistem AWAS terus beroperasi secara berterusan, selamat dan berkesan.

Dakwaan Kos RM337,000 Setiap Kamera Dijelaskan

Penjelasan itu diberikan menerusi jawapan bertulis di Parlimen kepada Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir yang meminta kementerian menjelaskan dakwaan kos penyelenggaraan purata RM337,000 bagi setiap kamera.

Beliau turut bertanya sama ada kementerian bercadang menjalankan audit bebas bagi menilai pulangan pelaburan (return on investment) sistem AWAS memandangkan kos penyelenggaraannya yang tinggi.

Keberkesanan Diukur Melalui Keselamatan Jalan Raya

Loke berkata, keberkesanan AWAS tidak dinilai berdasarkan pulangan kewangan semata-mata. Sebaliknya, ia turut mengambil kira impaknya terhadap keselamatan jalan raya serta tahap pematuhan pengguna terhadap undang-undang lalu lintas.

Menurut beliau, antara petunjuk utama keberkesanan sistem itu ialah peningkatan persepsi dalam kalangan pengguna jalan raya bahawa mereka berisiko tinggi dikesan dan dikenakan tindakan jika melakukan kesalahan.

Katanya, tahap persepsi tersebut direkodkan melebihi 90 peratus di lokasi yang dipasang kamera AWAS.

RM15 Juta Setahun Untuk Seluruh Sistem AWAS

Pada Ogos tahun lalu, Loke memaklumkan kerajaan membelanjakan kira-kira RM15 juta setahun bagi menyelenggara keseluruhan sistem AWAS.

Perbelanjaan itu meliputi penyelenggaraan kamera, sistem back-office serta proses pencetakan saman AWAS.

Pada Januari 2025, Infomina Bhd memperoleh kontrak selama tiga tahun bernilai RM22.35 juta daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan untuk sistem AWAS.

Sumber: Free Malaysia Today


 

Berita Berkenaan

Informasi
“Penggantian kamera AwAS ini adalah selaras dengan penambahbaikan sistem sedia ada selari dengan…