Kos penyediaan LRT di Johor dianggarkan RM16 bilion

oleh Firdaus Razani|
Anggaran kos keseluruhan penyediaan infrastruktur Transit Aliran Ringan (LRT) di Johor dianggarkan menelan belanja RM16.7 bilion, berbanding RM7 bilion bagi penyediaan infrastruktur Transit Aliran Autonomi (ART).

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata jumlah itu diperoleh berdasarkan analisis terperinci perbandingan antara sistem LRT dan ART, susulan pembentangan daripada dua konsortium yang mencadangkan sistem pengangkutan awam LRT dan ART.

"Bagi sistem LRT, ia memerlukan reka bentuk baharu untuk seksyen bertingkat selain memerlukan kelulusan railway scheme.

"Bagi infrastruktur depoh dan stesen LRT, ia memerlukan pengambilan tanah untuk depoh di Desa Jaya dan pengambilan tanah seluas dua hektar bagi landasan untuk switching/shunting," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Chen Kah Eng (DAP-Stulang) mengenai perkembangan kajian LRT di Johor Bahru.

Mohd Fazli berkata satu jawatankuasa khas melibatkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Kewangan (MoF), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ telah diadgkan Disember tahun lepas bagi menyemak hasil analisis dan cadangan itu.

Menurut beliau, jawatankuasa khas itu telah bersidang sebanyak dua kali termasuk mendengar pembentangan daripada dua konsortium yang mencadangkan sistem pengangkutan awam LRT dan ART.

Mohamad Fazli berkata antara asas pertimbangan yang ditekankan kerajaan ialah sistem pengangkutan yang akan dibangunkan ini dapat disiapkan pada akhir Disember 2026.

Katanya, ia selaras tarikh bermulanya operasi Rapid Transit System (RTS) yang menghubungkan Bukit Chagar ke Woodlands, Singapura.

"Kesesakan akan berlaku di Stesen RTS Bukit Chagar sekiranya perkhidmatan penyuraian penumpang (ART/LRT) tidak disiapkan selaras permulaan operasi RTS.

"Justeru, kerajaan negeri menyokong cadangan pembinaan elevated ART (E-ART) untuk dibangunkan di Bandaraya Johor Bahru bagi menggantikan sistem Bus Rapid Transit (BRT) yang dibatalkan oleh kerajaan Persekutuan sebelum ini," katanya.

 

SUMBER : Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  "Kita akan pertimbangkan semua cadangan termasuk daripada pihak swasta. Sebuah syarikat swasta,…