Konvoi kelab Harley rai pelancaran pusat pendidikan penyakit buah pinggang kronik

oleh Penyumbang Rencana|
H.T.C Motorcycle Group (HTC) merupakan sebuah kelab motosikal terdiri daripada 150 pemilik Harley-Davidson, yang menyebarkan semangat penunggang motosikal sambil berbakti kepada komuniti.

Pada hujung minggu lepas bertempat di Ipoh, The National Kidney Foundation (NKF) Malaysia telah melancarkan pusat pendidikan Chronic Kidney Disease (CKD). 


Sempena majlis pelancaran itu, kelab motosikal HTC telah berkonvoi dari KL ke Ipoh bagi menghadiri acara itu sebagai penaja utama bersama Yayasan Dialisis Pendidikan Akhlak Perak.


HTC telah membantu menyokong NKF Malaysia semenjak tahun 2017 dengan sumbangan 4 mesin dialisis.


Pusat pendidikan itu bertujuan untuk menyediakan sumber dan maklumat mengenai langkah dan pilihan terbaik mengenai perubahan diet dan gaya hidup serta terapi penggantian buah pinggang,  khusus untuk pesakit kegagalan buah pinggang yang kurang bernasib baik.


Selain itu, perkhidmatan yang disediakan juga termasuk pinjaman peralatan seperti Glucometer dan set Meter Tekanan Darah yang membantu pesakit memantau keadaan kesihatan mereka di rumah.

 

Cik Khor Xin Yun, Ketua Pegawai Eksekutif NKF Malaysia berucap di Pusat Pendidikan CKD.


Ketua Pegawai Eksekutif NKF Malaysia, Cik Khor Xin Yun berkata, “NKF telah meningkatkan sumbernya dengan ketara untuk menggalakkan pengesanan awal dan pencegahan penyakit buah pinggang. Dengan penubuhan unit kami di Alor Setar (Kedah), Batu Pahat (Johor) Kota Bharu (Kelantan) dan Kota Samarahan (Sarawak)”.


“kami kini boleh meneruskan pemeriksaan kesihatan, aktiviti jangkauan dan program intervensi di pinggir bandar dan kawasan luar bandar. Hari ini, menandakan satu lagi pencapaian kami dengan membuka Pusat Pendidikan CKD di Ipoh ini”.


NKF Malaysia merupakan sebuah pertubuhan amal didedikasikan untuk membantu rakyat Malaysia yang mengalami kegagalan buah pinggang peringkat akhir dan tidak mempunyai akses atau tidak mampu mendapatkan rawatan dialisis.


NKF Malaysia kini mempunyai lebih 1,700 pesakit dialisis yang menerima rawatan dialisis bersubsidi di 29 pusat dialisis di seluruh negara.

 

Penulis: Ahmad Danial Yasin
 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, kesemua mangsa berkonvoi…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kemalangan dipercayai…
Berita Domestik
Perkara itu dijelaskan sendiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Zailani Hashim…