“Pihak LPT 2 sedar tentang kemungkinan berlakunya peningkatan trafik yang mendadak pada Disember ini dan telah melakukan pelbagai persediaan untuk membantu pelanggan kami bergerak dengan selamat, selesa dan lebih mudah termasuklah berkolaborasi bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan menyumbang 2 buah lagi kenderaan rondaan Mitsubishi Outlander kepada PDRM,” kata Pengarah LPT 2 Sdn Bhd, Zakaria Ahmad Zabidi.
Menurutnya, penyerahan kenderaan EMPV kepada pihak polis ini merupakan inisiatif LPT 2 untuk membantu pihak berkuasa bagi menjalankan penguatkuasaan undang-undang, pemantauan dan rondaan di lebuh raya dengan lebih efektif di lebuh raya terbabit.
Ia juga membuktikan kerjasama yang erat di antara LPT 2 dan Polis dalam membantu orang ramai menikmati perjalanan yang selamat pada setiap masa.
“Pendekatan yang diambil oleh LPT2 termasuk kolaborasi bersama PDRM menerusi Unit Pemantauan Lebuhraya dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri menyaksikan kadar kemalangan yang berlaku di LPT2 telah menurun sebanyak 31% di antara 2016 hingga 2019.
Oleh itu, dengan sumbangan kenderaan ini, LPT 2 yakin ia dapat membantu pemantauan yang lebih efisien serta meningkatkan lagi tahap keselamatan di lebuh raya. Selain itu, dengan kehadiran 60 anggota LPT2Ronda termasuk 8 anggota EMPV PDRM di LPT2, ia dijangka mampu untuk membantu menjaga pelanggan di LPT2 sepanjang perjalanan mereka,” tambah Zakaria.
LPT 2 juga melihat kepada aspek penguatkuasaan undang-undang di bawah pendekatan 3E iaitu Enforcement (Penguatkuasaan), Engineering (Kejuruteraan) dan Education (Pendidikan) untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan di lebuh raya.
Zakaria berkata demikian ketika upacara penyampaian sumbangan kenderaan peronda Polis LPT2 yang telah diadakan di Hotel Paya Bunga, Kuala Terengganu, hari ini.
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak LPT 2 atas sumbangan 2 buah unit kenderaan bagi kegunaan dan rondaan Penguatkuasaan kepada PDRM.
Kami percaya, dengan sumbangan kenderaan kepada PDRM untuk kali kedua ini dapat membantu pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan pengguna lebuh raya dengan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di LPT2 dengan lebih baik dan berkesan,” jelas SAC Dato’ Mohd Nazri Hussain, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawasan Lalulintas/Pengurusan Saman), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, PDRM.
“PDRM dan LPT 2 akan terus bekerjasama dalam memastikan aspek keselamatan serta sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran kesalahan lalulintas dapat dikurangkan bagi memastikan pengguna lebuh raya berasa selamat ketika menggunakan lebuh raya LPT2,” tambah SAC Dato’ Mohd Nazri.
Terdahulu, pada tahun 2017 LPT 2 juga telah menyumbang 2 buah kenderaan rondaan Mitsubishi GT Lancer untuk rondaan di LPT2 kepada Polis Diraja Malaysia.