Absolut Overdrive
Pemandu ujian kilang, Markus Lundh, menunjukkan kemahiran luar biasa dengan memacu Jesko Absolut mencapai masa baharu yang menakjubkan iaitu 25.21 saat.
Angka terbaru bukan sahaja mengatasi penanda aras syarikat sendiri dari Jun 2024, tetapi juga menewaskan semua pesaing lain.
Kejayaan ini hasil daripada strategi perisian yang baharu dan lebih baik.
Sistem yang dikenali sebagai Absolut Overdrive telah diterapkan pada Jesko Absolut yang sama yang digunakan untuk ujian rekod tahun lalu.
Koenigsegg mengesahkan penambahbaikan ini akan diperkenalkan kepada kereta pelanggan.
Langkah itu bagi memastikan setiap pemilik Jesko Absolut dapat menikmati manfaat daripada kemajuan yang dicapai.
Kemajuan tersebut adalah hasil usaha berterusan Koenigsegg dalam kecemerlangan teknikal dan pembangunan perisian.
Christian von Koenigsegg, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, mengulas mengenai pencapaian terbaru;
"Ujian ini membuktikan kekuatan kerja berpasukan merentas fungsi dan komunikasi luar biasa antara sistem pacuan yang kami bangunkan sendiri.
Ini adalah bukti sinergi antara pasukan kejuruteraan dan pembangunan kami, seni bina perisian terkini dan penyelesaian mekanikal terkemuka dalam kelasnya."
Keadaan Ujian dan Ciri-ciri Kereta
Markus Lundh tidak asing dengan cabaran. Semasa ujian, beliau berdepan landasan yang masih basah akibat hujan sebelumnya.
Keadaan itu benar-benar menguji keupayaan Jesko Absolut dan pemandu sendiri.
Walaupun dalam keadaan yang kurang ideal, Jesko Absolut membuktikan keunggulannya.
Gabungan enjin V8 5.0 liter pengecas turbo berkembar, pekali seretan yang rendah dan strategi kawalan cengkaman yang canggih memastikan prestasi yang mantap.
Ini mengukuhkan status sebagai kereta produksi yang dihomologasikan sepenuhnya yang terpantas di dunia dalam ujian mencabar tersebut.
Penambahbaikan yang dilakukan membolehkan Markus melengkapkan ujian 0-400-0 km/j dalam hanya 25.21 saat, manakala ujian 0-250-0 mph diselesaikan dalam 25.67 saat.
Angka terbaru sangat mengagumkan. Ia memendekkan lebih daripada 2.5 saat berbanding rekod 0-400-0 km/j sebelum iaitu 27.83 saat yang dicatat oleh Jesko Absolut sama pada 2024.
Data Prestasi yang Disahkan:
- 0-400-0 km/j: 25.21 saat
- 0-400 km/j: 16.77 saat
- 400-0 km/j: 8.44 saat
- 0-250-0 mph: 25.67 saat
- 0-250 mph: 17.18 saat
- 250-0 mph: 8.49 saat
Christian von Koenigsegg turut mengulas mengenai penambahbaikan sejak ujian rekod tahun lalu.
Beliau menjelaskan bahawa jurutera perisian telah membuat pelarasan pada sistem Light Speed Transmission dan Pengurusan Enjin.
Mereka juga telah memperkenalkan sistem kawalan tork baharu yang menguruskan cengkaman Absolut dengan cara yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Kami mencapai tahap prestasi ini dengan kereta produksi yang hanya menggunakan enjin pembakaran dan pacuan roda belakang.
Kami juga mengalahkan semua kereta elektrik pacuan empat roda dalam garisan lurus."
Beliau menyifatkan pencapaian ini sebagai sesuatu yang hampir ajaib dan menunjukkan bahawa 'kebenaran' boleh ditulis semula.
Rekod Jesko Absolut disahkan menggunakan peralatan Racelogic standard industri dan data yang direkodkan telah disahkan secara rasmi oleh Racelogic.
Game on!
Sejurus selepas rekod ini dicatatkan, Mate Rimac selaku Ketua Pegawai Eksekutif Rimac, memuat naik hantaran video di media sosial dan memperakui rekod baharu Koenigsegg.
Beliau menamatkan rakaman tersebut dengan mengatakan game on! Menariknya, dalam hantaran yang sama, Christian von Koenigsegg turut menjawab game on!