Koenigsegg Jesko Absolut - Raja segala Koenigsegg!

oleh Mohamad Hanif|
Kira-kira setahun lalu, Koenigsegg ada mengumumkan perancangan untuk menghasilkan jentera Jesko yang mampu mencapai kelajuan tertinggi 300 batu sejam (490 km/j).
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Walaupun hasrat untuk memperkenalkan model tersebut tidak kesampaian gara-gara Geneva Motor Show yang dibatalkan saat-saat akhir, ia tidak menghalang Koenigsegg daripada terus mengejutkan dunia dengan model terbaharu tersebut (selain daripada Koenigsegg Gemera).

 


Memperkenalkan, Jesko Absolut dan menurut Koenigsegg, ia bakal menjadi jentera paling pantas di dalam keluarga supercar dan hypercar Sweden itu dengan kelajuan tertinggi yang melebihi rekod Bugatti Chiron Super Sport. 

Berbanding dengan spesifikasi standard Jesko, Jesko Absolut masih dikuasakan oleh enjin bentangan V8 5.0 liter turbo berkembar dengan angka output 1,280 kuasa kuda dan 1,000 Nm sekiranya anda menggunakan bahan api mesra poket. 

Bila sudah kaya sikit, tukar kepada bahan api E85 dan Jesko Absolut bakal menghamburkan kuasa sebesar 1,600 hp dan 1,500 Nm. 
 


Kuasa tersebut disalurkan kepada jalan raya menerusi transmisi automatik sembilan nisbah kelajuan Light Speed Transmission yang mampu menukar gear antara gear (sebagai contoh dari gear 7 ke gear 4) dengan pantas tanpa sela masa. 

Apa yang membuatkan Jesko Absolut mampu menggila berbanding Jesko standard adalah talaan semula kepada aspek aerodinamik Jesko dan mereka berjaya merendahkan kadar pekali seretan kepada 0.278. 

Ingatkah anda pada spoiler gergasi yang dipasang pada Jesko? 
 


Nampaknya pihak jurutera telah pun membuang komponen tersebut pada Jesko Absolut. 

Menurut Koenigsegg, mereka menghabiskan masa kira-kira 3,000 jam untuk menganalisis kembali aspek aerodinamik Jesko, serta 5,000 jam diperlukan untuk mereka menambah baik aspek kejuruteraan pada jentera tersebut. 

Harus diingatkan, ia merupakan tambahan kepada segala macam usaha yang telah dicurahkan pada Jesko standard. Gila? Segalanya demi kelajuan terpantas 300 batu sejam!
 


Walaupun talaan yang lebih serius diberikan pada Jesko Absolut, Koenigsegg turut memberikan perhatian kepada sistem suspensi supaya ia lebih mudah dipandu sebagai kereta belasahan seharian. 

Koenigsegg tidak menyatakan sebarang harga ataupun bilangan unit yang bakal dihadkan untuk Jesko Absolut, dan satu perkara yang harus anda tahu, tiada sebarang jentera Koenigsegg yang bakal menandingi kelajuan yang dicatatkan oleh Jesko Absolut. 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Kumpulan terakhir R8 telah dilancarkan dari barisan pemasangan di kilang Audi Böllinger Höfe di…
Berita Global
Operasi yang dilakukan baru-baru ini turut merampas kenderaan yang dimiliki oleh ketua penjenayah,…
Berita Global
Selepas melancarkan model V10 GT RWD pada tahun lepas, tiba giliran Audi Jepun untuk melancarkan R8…