KLIMS 2018: Lexus UX akhirnya tiba di Malaysia.

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Lexus Malaysia hadir dengan dua model baharu dan satu model konsep untuk menunjukan kesungguhan jenama itu di dalam membawa teknologi dan kemewahan kepada pemilik kenderaan jenama tersebut.

Menurut Preside Lexus Malaysia, Ravindran K, inspirasi teknologi di dalam produk Lexus hari ini penuh dengan ciri-ciri mewah dan kualiti premium. Ianya bukan sahaja cantik untuk dilihat, tetapi menarik untuk dipandu.

Di bawah ialah apa yang anda boleh lihat di kawasan pameran Lexus Malaysia di KLIMS 2018.

 

 

Lexus UX

Model kompak SUV Lexus UX atau Urban Crossiver ini ialah model pertama jenama mewah ini dalam segmen tersebut.

Pembangunan model Lexus UX diketuai oleh Ketua Perekabentuk Chika Kako, ketua jurutera wanita pertama dalam sejarah Toyota.

Dibina menggunakan platform Global Architecture-Compact (GA-C), ia menjanjikan platform yang tegap dengan pusat graviti yang paling hampir ke bumi untuk memberikan Lexus UX ini pemanduan yang dinamik dan mencengkam - sama seperti sebuah coupe sporty.

Satu ciri unik untuk UX ialah lampu belakang yang juga menjadi spoiler untuk penambahan "downforce" yang memberikan stabiliti tambahan kepada crossover ini ketika pemanduan pada kelajuan tinggi.

Bahagian kabin UX juga menampilkan rekabentuk baharu, seperti kemasan mirip Washi, kertas Jepun. Tempat duduk balutan kulit pula menerima sentuhan jahitan "quilted" Sashiko yang nampak lebih bergaya dan tahan lasak.

Untuk pemandu, ia mempunyai paparan Head-Up Display terbesar di dalam kelasnya dan kelompok meter digital bersaiz 7-inci. Di tengah papan pemuka, skrin EMV 10.3-inci memaparkan pelbagai kawalan untuk sistem navigasi dan juga untuk sistem audio Lexus Premium dengan lapan pembesar suara.

Enjin pula ialah unit 2.0L 169 hp tetapi yang paling menarik ialah transmisi Lexus yang merupakan kombinasi gear automatik tradisional dan CVT.

Apa yang berlaku ialah apabila anda memulakan perjalanan, sistem transmisi akan menggunakan gear satu mekanikal dan selepas pecutan itu, sistem CVT masuk untuk meneruskan perjalanan.

Hasilnya, kurang rasa elastik seperti kenderaan dilancarkan menggunakan getah gelung pelastik cicak. CVT pula membenarkan pemanduan yang lebih senyap dan paling penting, menjimatkan.

Seperti model Lexus yang lain, ia hadir dengan kelengkapan keselamatan modern di bawah payung Lexus Safety System+. Ini termasuk Pre-Collision System (PCS), Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Departure Alert (LDA) dan Adaptive High-Beam System (AHS).

 

 

Lexus ES Generasi Ke-7

Model sedan eksekutif ini menampilkan rekabentul serba baharu dan dengan gril Spindle di hadapan.

Enjin 2.5L baharu dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan direct shift (yang pertama dari Lexus) memberikan ES ini daya pecutan yang setanding dengan status mewahnya.

Fokus bukan setakat untuk penumpang VIP di belakang (siap dengan tempat duduk boleh baring kawalan elektrik serta kawalan jauh di armrest tengah untuk pelindung suria, sistem audio dan pendingin hawa), tetapi juga kepada mereka yang mahu memandu sedan mewah ini sendiri. Kerana itu, ia dilengkapi dengan skrin EMV bersaiz 12.3-inci serta kelompok meter dengan skrin TFT 7-inci.

Paparan Head-Up Display yang terbesar di dalam kelasnya turut menjadi bahan utama bagi memudahkan pemandu mendapat semua informasi penting.

Juga tidak dilupakan ialah Lexus Safety System+ untuk kelengkapan keselamatan yang modern.

 

 

Lexus LS+ Concept

Model konsep ini ialah sedan paling premium dan paling canggih untuk Lexus dengan ciri-ciri keselamatan automotif yang tak terjangkau minda.

Susuk tubuh yang futuristik itu menyembunyikan pelbagai teknologi-teknologi dan inovasi keselamatan yang dimiliki oleh LS+ ini, terutamanya sistem pemanduan automated (pemanduan kendiri).

 

 

Dibangunkan di atas prinsip Integrated Safety Management Concept milik Lexus, ia menggabungkan keseronokan pemanduan dalam cara yang lebih lancar dan selamat.

Fokus diberikan kepada pemanduan lebuhraya di mana Lexus LS+ mampu menukar laluan, memotong kenderaan, meluncur dan keluar masuk dari lebuhraya dengan lebih teratur kerana ia akan berhubung dengan aplikasi Highway Teammate yang memantau pergerakan kenderaan lain di sekitar LS+ itu.

 

 

Telur Jujur (Honest Egg)

Pemenang anugerah Lexus Design Award 2018 (Pilihan Ramai) di Minggu Fesyen Milan tahun ini menyaksikan sepasang pencipta tempatan, Paul Yong dan Jaihar Jailani Ismail dengan hasil ciptaan unik mereka - Honest Egg.

Dengan memasukan pigmen warna khas ke dalam kulit telur, kita akan tahu samada telur itu selamat untuk dimakan atau wajib dibuang dengan hanya melihat warnanya sahaja.

 

 

Selain dari keempat-empat persembahan menarik di atas, ruang pameran Lexus turut dihiasi dengan Lexus RX Special Edition yang menerima perubahan dalam dan luaran, Lexus NX dan model sporty LC500.

Untuk peminat seni, pameran Lexus Crafted Parts Box pasti akan membuat anda ternganga melihat hasil kreatif menggunakan komponen-komponen Lexus yang dipotong dan dicat untuk dijadikan karya seni yang unik dan premium.

Jadi jika anda ke KLIMS, jangan lupa jadikan pameran Lexus sebagai pilihan utama anda! 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Setiap kali pameran automotif diadakan di Malaysia, komen-komen sumbang seperti di bawah pasti akan…
Berita Domestik
Proton akhirnya membuat penampilan umum SUV pertama mereka, X70 yang diambil dari Geely Boyue.…