KLIA laksana fasa percubaan Sistem Pengurusan Akses Kenderaan bermula 1 Sept

oleh Penyumbang Rencana|
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan memulakan percubaan Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) bagi menambah baik aliran trafik di kawasan tepi jalan dan menyediakan akses lebih lancar ke terminal.

Dalam satu kenyataan, Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) berkata tempoh percubaan di Terminal 1 di Aras 5 (pelepasan menghantar penumpang) dan Aras 3 (ketibaan mengambil penumpang), akan bermula pada 1 Sept hingga 31 Nov, 2025.

Katanya, bagi Terminal 2, tempoh percubaan VAMS akan bermula pada 15 Sept hingga 30 Nov, 2025.

Pengendali lapangan terbang itu berkata percubaan itu bertujuan melancarkan aliran trafik, meningkatkan keselamatan, dan menyediakan akses yang lebih lancar ke terminal.

"Sistem ini memperkenalkan tempoh masuk dan keluar melalui pintu penghalang, yang direka untuk mengurangkan kesesakan berpunca daripada perhentian tidak dibenarkan atau berpanjangan di kawasan tepi jalan," katanya.

Semasa fasa percubaan, VAMS akan memberi setiap kenderaan tempoh tangguh 10 minit untuk menghantar dan mengambil penumpang, dengan sistem memantau kenderaan yang kekal melebihi masa itu.

"Tiada yuran penalti akan dikenakan semasa tempoh percubaan. Sebaliknya, tumpuan akan diberikan kepada pemerhatian corak aliran trafik, tingkah laku pemandu dan prestasi keseluruhan sistem untuk menentukan tempoh tangguh yang optimum dan struktur yuran penalti untuk pelaksanaan sepenuhnya," katanya.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata terminal lapangan terbang itu selalunya menjadi tanggapan pertama dan terakhir bagi pengembara terhadap Malaysia.

"Kami mahu ia (tanggapan) mencerminkan layanan dan kecekapan kami, terutamanya ketika kami membuat persiapan bagi Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut kementerian itu, kejadian tersebut menyebabkan penurunan voltan sekali gus menjejaskan…
Informasi
"Memandangkan kerja-kerja tersebut siap lebih awal daripada perancangan, landasan ini kembali…
Informasi
"Akibatnya, sesetengah penerbangan mungkin mengalami kelewatan disebabkan pelarasan kapasiti…