"Kementerian ini juga meneruskan pelaksanaan projek-projek strategik berskala besar seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah, Sabah-Sarawak Link Road dan Lebuhraya Trans Borneo, di samping projek penyuraian trafik dan naik taraf jalan utama di Semenanjung Malaysia.
"Projek ini memperkukuh jaringan perhubungan, meningkatkan mobiliti rakyat serta membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat dan pemain industri tempatan," katanya ketika berucap pada Malam Media Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Anugerah Media Pembinaan CIDB 2025 (AMP 2025) pada malam Rabu.
Alexander berkata, dalam aspek keselamatan dan pembangunan tenaga kerja pembinaan, CIDB Malaysia memperkenalkan Kad Hijau CIDB versi baharu bagi personel tapak binaan.
Katanya, inisiatif ini bertujuan memastikan hanya tenaga kerja yang berdaftar, terlatih dan mematuhi standard keselamatan dibenarkan bekerja di tapak binaan.
"Ia sekali gus mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan profesionalisme industri pembinaan negara," katanya.