Era 60-an: Datsun Sunny 1000, 30,000 unit dalam tempoh lima bulan!
Datsun Sunny 1000 dilancar pada 1966 dan lahirnya model ikonik dan mencetuskan era baharu di dalam pemilikan kenderaan peribadi di Jepun.
Sunny 1000 tampil membawa reka bentuk sporti dan pada harga mampu milik dan dengan pantas menambat hati golongan pekerja pada masa itu.
Sunny 1000 terjual lebih 30,000 unit dalam tempoh lima bulan!
Datsun 1200 memasuki pasaran beberapa tahun selepas itu dan terkenal kerana ciri-ciri yang mesra keluarga.
Menariknya, Datsun 1200 ditawarkan dalam pelbagai jenis gaya badan seperti sedan, coupé dan van.
Model sedan membawa sekali ruang dalaman paling besar di dalam kelasnya.
Slogan iklan juga menarik iaitu "Car next door looks small".
Era 70-an: Prestasi dan kereta lumba
Memasuki era 70-an, Datsun Sunny Excellent menerjah dengan gaya dan sporti melalui model coupé dua pintu.
Sunny Excellent dijadikan kereta asas untuk berlumba di dalam kategori TS Race Fuji International Speedway dan menang lapan kejohanan di antara tahun 1971 dan 1982.
Kemuncak kepada legasi perlumbaan ialah pada Grand Prix Jepun 1973 di mana Nissan menghantar sembilan buah Sunny Excellent dengan enjin baharu LZ14.
Sunny Excellent merangkul tiga tempat teratas dan membuktikan kekuatan enjin LZ dengan aci berkembar.
Era 80-an, pasaran Amerika Syarikat, Nissan Sentra
Sunny bertukar kepada Sentra apabila memasiki pasaran Amerika Syarikat. Sentra menggunakan pacuan roda depan dan memaksimumkan ruang.
Sepanjang era 80-an, Nissan melengkapi Sentra dengan teknologi moden seperti sistem pancitan bahan api.
Nissan turut memperkemaskan gayaan Sentra dan menjadikannya sebagai salah satu model kegemaran pengguna.
Era 90-an, simbol ketahanan dan keselesaan
Reka bentuk Sunny pada era 90-an membawakan gaya petak dan berbucu lembut selain pengenalan pacuan empat roda.
Sunny atau Sentra terkenal dengan ketahanannya dan beberapa unit mencecah lebih 700,000 kilometer tanpa perlu pelarasan enjin.
Sunny yang diperkenal pada 1998 membawa konsep revolusi dengan mengutamakan keselesaan dan saiz lebih besar.
Tidak seperti sebelumnya, Sunny hanya ditawarkan dalam bentuk sedan empat pintu.
Satu lagi yang menarik, Sunny juga cemerlang di dalam sukan permotoran.
Nissan Sunny di Timur Tengah
Di pasaran tempatan, Sunny dikenali sebagai Almera manakala di Amerika Syarikat dinamakan Versa.
Apa pun namanya, model ini diperkenal pada 2019 dan tampil menarik serta bergaya.
Di Timur Tengah, Sunny digerakkan enjin 1.6 liter yang dipadan bersama kotak gear Xtronic CVT.
Enjin itu menghasilkan 118 kuasa kuda (hp) dan tork 149Nm. Penggunaan purata petrol ialah 19.1 kilometer per liter.
Apabila anda bertemu dengan Almera di atas jalan, ingatlah bahawa susur galurnya bermula dari Datsun Sunny.
Mungkin juga, pemilik Almera boleh menambah pelekat Sunny!
Penulis: Muhammad Md Tajudin / Ihsan gambar: Nissan