Kisah mencari permit rentas sempadan - Polis perlu bantuan!

oleh HEZERI SAMSURI|
Umum sekarang mengetahui bahawa untuk sebarang perjalanan merentas sempadan, permohonan permit diperlukan dari pihak polis.

Seperti yang sering ditulis oleh Careta dan media lain, borang permohonan itu perlu dimuat turun dari laman Facebook Polis DiRaja Malaysia dan proses bermohonan anda akan bermula. Bergantung kepada lokasi dan alasan anda, proses ini memang akan menduga kesabaran.

Di bawah ialah pengalaman saya sendiri hari ini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

1. Saya dikehendaki untuk membuat liputan khusus bagi membantu mengurangkan risiko COVID-19 di selatan tanah air. Saya sebenarnya tidak suka untuk bergerak jauh semasa COVID-19 ini tetapi setelah saya kaji, memang kehadiran saya diperlukan untuk membantu. Kalau ustad pun sanggup berjalan jauh membantu orang, apa lagi orang kerdil seperti saya ini. 

2. Surat sokongan dan juga penerangan bahawa perjalanan merentas sempadan telah dikeluarkan oleh agensi terbabit. Agensi ini tergolong di dalam salah satu dari "essential services" atau perkhidmatan penting yang dibenarkan untuk beroperasi dari awal PKP lagi.

 

FB PDRM

 

3. Saya memuat turun borang Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Facebook PDRM. Oleh kerana ia adalah sebuah fail gambar, saya perlu membuka beberapa aplikasi yang sesuai dan melakukan sedikit perubahan untuk mencetak borang tersebut. Jika anda mahu versi PDF untuk borang tersebut, klik pautan di bawah.

PDF COPY Borang Permit 

4. Setelah semua borang dan surat sokongan saya susun dan letakkan dengan kemas di dalam folder, jam 12.20 tengahari saya ke Balai Polis Serdang, Seri Kembangan. Itu ialah balai polis paling hampir dengan rumah saya.

5. Saya mengambil keputusan untuk menunggang motosikal, kerana jika saya perlu ke IPD Kajang, parkir di sana memang lebih susah dari hendak mengurat artis remaja sekarang. Walaupun panas dan berpuasa, kalau rider-rider delivery boleh tahan, siapalah saya untuk komplen.

 

 

6. Sampai di Balai Polis Serdang, anggota yang bertugas di pos kawalan di pintu utama berkata walaupun alamat dan poskod rumah saya ialah Seri Kembangan, kawasan rumah saya adalah di bawah Polis Daerah Kajang. Jadi saya diminta untuk ke sana. Anggota polis ini masih muda dan sangat sopan. Saya mengangguk dan ucapkan terima kasih.

7. Saya langsung ke Kajang. Keadaan Kajang seperti dijangka, walaupun pandemik Covid 19 masih belum selesai, kaum peniaga di Kajang sudah mula membanjiri pekan kecil itu hingga sesak jalanraya. Keadaan trafik yang tinggi itu ditambah dengan format jalanraya pekan Kajang yang semodern Malaysia "circa" 1975.

8. Saya jumpa parkir di tepi IbuPejabat Polis Daerah Kajang. Turun motosikal, simpan helmet, dan berjalan ke pos kawalan di pintu utama. Jam baru menunjukan jam 1.05 pm. Saya nyatakan hasrat saya dan anggota polis di situ berkata barisan untuk permohonan akan bermula jam 2.30 pm. Saya tidak tahu rupanya ada waktu-waktu tertentu untuk meminta permit tersebut disebabkan tidak pernah menerima siaran akhbar berkaitan cara itu. Tak apalah. Saya mengangguk kepala, pergi ke motosikal.

9. Ada lagi lebih kurang sejam setengah untuk saya tunggu. Nak ke masjid, tak boleh. Nak lepak Mc Donald's, saya terlalu jantan untuk beri alasan saya tak berpuasa kerana ini "bendera merah". Maka dalam keadaan panas itu, saya berpusing sehingga ke Semenyih. Mujur ada rakan tinggal di sana, dapatlah tumpang Zohor.

 

 

10. Jam 2.30 pm, saya sudah siap berada di pintu utama IPD Kajang. Ternampak barisan panjang hingga ke belakang bangunan. Mak ai, dah ada barisan panjang? Di pondok kawalan, beberapa orang awam meminta bantuan kerana ada yang dalam keadaan kecemasan dan perlukan permit. Anggota polis yang bertugas nampak tenang danmenjawab dengan sopan.

11. Giliran saya untuk bertanyakan, dan saya diberitahu kuota untuk minta permit sudah habis untuk hari ini. Kena hadir esok. Saya tak pernah tahu wujudnya kuota, tetapi saya kira dengan barisan yang sepanjang keretapi Senandung Malam itu, memang logik dilakukan kuota di IPD itu kerana jika tidak, masalah penjarakan sosial pula boleh berlaku. 

12. Saya bertanya, di mana lagi saya boleh dapatkan permit kerana esok saya sudah perlu memulakan perjalanan dan permit hanya boleh diminta sehari sebelum perjalanan. Anggota itu menjawab dengan sopan - "Encik pergi sahaja ke balai polis berdekatan, memang itu caranya." Saya diam, sebab itulah balai polis pertama yang saya pergi dan saya ditendang ke Kajang.

13. Saya beralah. Pergi semula ke motosikal, lap peluh di dahi dan celah ketiak, sarungkan helmet dan sarung tangan dan bergerak ke Balai Polis Taming Jaya. Saya kira itu adalah balai polis yang kedua paling dekat dengan rumah saya.

 

waze tutup

 

14. Sampai di kawasan yang saya rasa lokasi balai polis itu, tetapi tak terjumpa. Saya berhenti di tepi jalan, lap peluh, buka sarung tangan dan kotak Givi dan cari telefon saya. Saya buka Waze, ya, lokasi saya memang tepat tetapi balai polis itu sudah tiada. "Betul ke aku ni? Aku rasa betul dah ni," detik hati saya.

15. Ternampak sebuah kedai tayar dan saya bergerak ke sana. "Taukeh," ujar saya kepada seorang lelaki Cina yang saya kira pemilik premis itu. "Boss, itu Balai Polis Taming dekat sana kan?" tanya saya sambil menunjuk ke bangunan sebelah. "Ya ya ya, tapi sudah pindah maa," jawabnya sambil cuba menyorok rokoknya, tanda hormat kepada saya. "Dia pindah ke mana boss?" tanya saya. "Dia tarak pindah. Dia tutup terus! Lu pergi Kajang sana la," jawabnya. Kajang? Dan saya baru pulang dari IPD Kajang.

16. Saya nekad untuk terus ke Balai Polis Serdang kembali untuk tanyakan nasihat. Lap peluh dan terus menunggang ke Serdang. Sampai di sana, ternampak beberapa orang sedang beratur. "Ah, ni nak mintak permit la ni. Bagus," saya berfikir. Saya terus ke pos kawalan dan anggota polis muda itu masih bertugas. "Tuan, saya minta maaf. Saya dah ke Kajang, Kajang tolak saya. Saya ke Taming Jaya, balai polis itu dah arwah. Saya datang sini balik sebab saya dah tak tau nak ke mana," saya kata dengan nada penat. Terbayang air Fanta Oren dengan ais segelas. 

 

 

 

17. Saya tunjukan dokumen-dokumen saya. "Tuan, saya memang ada dokumen lengkap. Ini bukan soal saudara mara atau beraya. Ini soal kerja di bawah status Essential Services tuan. Surat sokongan semua lengkap dari agensi kerajaan," terang saya. Beliau kemudian menjawab, "Bukan gitu cik. Alamat cik memang diluar kawasan kami. Cik memang kena ke IPD Kajang." 

18. Saya terus "jem" kepala tetapi saya faham, anggota polis ini cuma menurut arahan, dan seperti yang kita sedia maklum, arahan orang atas ini memang sering berubah dan ada U-Turn. Kejap tak ada faedah, lepas tu ada balik, kemudian tak ada. Kejap boleh balik dengan motosikal, lepas tu haramkan motosikal dan bas ekspress, dan kemudian on balik. Kejap kena mintak permit dengan mengisi borang. Selepas itu tak perlu, cuma perlu dapatkan kod QR dari aplikasi Gerak Malaysia. Lepas itu aplikasi dah tak laku, kena guna permit semula. Ini belum masuk pengumuman dari kerajaan negeri yang juga penuh dengan u-turn. Alasan paling popular - media salah buat laporan. Sigh ....

19. Anggota polis itu mungkin nampak muka saya yang memang menahan sabar. Beliau meminta untuk melihat dokumen-dokumen saya. Alhamdulillah, akhirnya ada juga polis yang sudi melihat borang-borang yang saya sediakan dengan cantik dan kemas. 

20. "Tuan, saya dah ke Kajang tuan. Dia kata dah habis kuota harian. Saya dah penat sangat, dan saya perlu ke sana esok," saya berkata dengan nada lemah, seperti baru dua hari belajar berpuasa. Anggota polis itu memang bersabar dan beliau terangkan dengan baik sekali. "Kalau kami letakkan tanda tangan balai kami, kami akan kena soal kerana balai ini berada di luar lokasi tuan. Tapi saya lihat surat dokumen tuan ini dah lengkap. Saya kira tuan boleh tunjuk sahaja dokumen-dokumen ini," ujarnya dengan sangat sopan. 

21. Saya tahu, beliau cuba memujuk saya. Saya rasa hormat betul pada anggota muda ini yang bersabar. Saya pasti, bukan saya seorang sahaja yang mengalami masalah begini, dan bukan saya seorang sahaja makhluk Allah yang datang ke pondok kawalannya dengan keadaan "frustrated" dan sedikit marah. Saya ucapkan terima kasih kepada anggota polis itu dan terus ke motosikal saya. "Ah, baliklah. Mandi lagi bagus," ujar saya dalam hati.
 

 

22. Dalam perjalanan ke rumah, hati saya tenang. Memang anggota polis tadi berjaya melembutkan hati saya. Saya pun tak suka balik ke rumah dalam keadaan marah, atau menunggang dengan keadaan marah kerana ia cuma meningkatkan lagi risiko kemalangan. Berzikir memang menjadi penawar saya bila dalam situasi sedemikian. 

23. Setibanya di rumah, saya kongsikan pengalaman saya dengan anak-anak. Mereka dengan khusyuk mendengar, dan sebulat suara bersetuju bahawa ayah mereka perlu pergi mandi kerana bau masam. Tak apa, saya potong elaun belanja mingguan mereka.

24. Selepas mandi, berbedak dan memakai kain pelekat kegemaran saya, saya cuba Google balai polis yang lain di dalam daerah Kajang. Saya cuba telefon Balai Polis Cheras Batu 9, dan pegawai di sana bersetuju, hanya IPD Kajang sahaja menjadi jawapan masalah saya. Tak apa.

 

 

25. Saya cuba menelefon IPD Kajang, dan selepas beberapa minit, panggilan saya dijawab. Saya berkongsi masalah saya dan pegawai itu kemudian berkata, "Setahu saya, tidak ada kuota. Encik datang sahaja bila-bila Encik nak untuk urusan permit ini." Pulak! 

26. Saya ucapkan terima kasih, letak telefon di bawah tilam, dan tidur. Kalau ada pertandingan mengarang cerita Saya Sebuah Bola, saya pasti saya akan dapat tempat pertama.

27. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak PDRM atas usaha-usaha mereka selama ini. Kami sentiasa menyokong pihak PDRM dan kami sentiasa bersedia membantu mereka, seperti yang sering kami lakukan. Namun begitu, saya harap agar pihak MKN atau Perdana Menteri sendiri sudi kiranya memikirkan beban berat yang ditanggung oleh PDRM semasa PKP ini. Mungkin pegawai-pegawai agensi lain boleh diarahkan turun untuk membantu PDRM yang memang ternyata boleh memanfaatkan tambahan tenaga kerja.

28. Untuk mereka yang mempunyai sebab-sebab remeh untuk pulang ke kampung atau membuat perjalanan merentas sempadan, batalkanlah sahaja kerana ada ramai lagi yang memang perlukan permit untuk sebab-sebab jauh lebih penting. 

Stay home, stay safe. 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, langkah itu bukan merupakan satu ketetapan dasar…
Berita Domestik
Beliau menerangkan bahawa trafik menghala ke Bentong ada pada tahap minimum dan hanya ada…
Berita Domestik
Beliau berkata keputusan itu dibuat kerana mengesan peningkatan jumlah kenderaan untuk tempoh dua…