Kisah LJ80 milik juara 500cc Barry Sheene, dari Suzuki kembali ke Suzuki!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Suzuki LJ80 Barry Sheene 1979
Suzuki LJ80 Barry Sheene 1979
Barry Sheene ialah pelumba motosikal era 70-an dan 80-an yang menjuarai dua kali perlumbaan Grand Prix 500cc atau lebih tepat lagi pada tahun 1976 dan 1977.

Kedua-dua kejuaraan itu berjaya diperolehi menggunakan motosikal Suzuki.

Pada tahun 1979 Suzuki membekalkan sebuah jip LJ80 dan digunakan sebagai kenderaan pit dan aktiviti promosi.

1979 juga merupakan tahun pertama Suzuki memulakan jualan kereta di United Kingdom (UK).
BHPETROL Euro5 Diesel MREC Banner Campaign Sep 2023
Suzuki LJ80 Barry Sheene 1979

 

Jip itu kemudiannya dimiliki oleh keluarga Sheene dan digunakan di ladang mereka di Surrey sehingga tahun 1987.

Apa yang berlaku seterusnya? Jip itu ditemui di sebuah bangsal di dalam keadaan tidak terurus dan dilitupi gumpalan rumput kering.

Di dalam keadaan tersebut, jip yang terkenal dengan nombor tujuh yang juga merupakan nombor perlumbaan Sheene telah dibaik pulih oleh pemilik baharu.

Menariknya, individu tersebut merupakan bekas Pengarah Pemasaran Suzuki dan beliau membaik pulih jip itu mengikut spesifikasi asal.

Jip ini dilengkapi bumbung soft top dengan skrin pintu sisi boleh alih dan digerakkan enjin 800cc dan gear nisbah tinggi dan rendah untuk kegunaan off road.

 

Suzuki LJ80 Barry Sheene 1979

 

Kisah jip ini belum tamat apabila bertukar tangan dan kemudian dibeli oleh pengedar Suzuki CMW di Sussex yang meletaknya di bilik pameran dan dipandu ke luar sekali sekala.

Pada tahun 2013, jip ini dijual pada satu acara bidaan dan dijadikan koleksi kenderaan peribadi dan baru-baru ini muncul di dalam katalog bidaan Silverstone Auctions. 

Jip itu sebahagian sejarah penting syarikat dan tanpa berlengah, Suzuki hadir ke lokasi bidaan bagi mendapatkannya selain untuk digandingkan bersama koleksi motosikal lumba Sheene.

Walaupun menarik minat ramai, Suzuki berjaya dalam sesi bidaan tersebut. 

Dengan sedikit choke pada karburetor, jip itu berjaya dihidupkan dan dipandu keluar dari lokasi bidaan.

 

Suzuki LJ80 Barry Sheene 1979

 

Apa perancangan Suzuki seterusnya?

LJ80 ini diletakkan di dalam bilik pameran dan akan digunakan di pelbagai acara pada masa depan dan digandingkan bersama motosikal lumba Suzuki.

Suzuki mempunyai sejarah panjang atau sejak tahun 70-an lagi di dalam dunia perlumbaan motosikal Grand Prix dunia.

Selain Barry Sheene, beberapa pelumba lain turut menjadi juara dunia seperti Kevin Schwantz (1993) dan Kenny Roberts Jr. (2003).

Setelah berpuluh tahun, Suzuki akhirnya berjaya menggondol kedua-dua kategori pelumba dan pengilang pada tahun 2020 bersama Joan Mir.

Penulis: Muhammad Md Tajudin