Presidennya, Thomas Chai, berkata Kinto One merupakan hasil daripada kerjasama strategik antara Toyota Capital Malaysia dan UMW Toyota Motor dan direka secara khusus untuk memenuhi keperluan gaya hidup generasi baharu berkaitan mobiliti.
"Ia berkenaan peralihan cara pembelian pelanggan daripada pemilikan kenderaan kepada penggunaan kenderaan. Ia juga selari dengan visi 'Mobility for All' yang dijuarai oleh Toyota," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kinto One adalah pelan langganan kenderaan yang merangkum seluruhnya dengan bayaran ansuran bulanan tetap yang mana ansuran bulanan tetap berkenaan sudah termasuk sekali kos pendaftaran kenderaan, insurans komprehensif tahunan dan cukai jalan, penyelenggaraan berjadual serta penyelenggaraan pencegahan.
Tempoh langganan disediakan sama ada bagi dua tahun atau tiga tahun dan selepas ia tamat, pelanggan hanya perlu memulangkan kenderaan terbabit kepada Toyota Malaysia.
Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor Ravindran Kurusamy berkata, KintoOne disasarkan untuk memenuhi keperluan generasi muda pemilik kenderaan yang inginkan kebebasan dan mobiliti melalui pelan langganan bulanan dengan ansuran tetap dan inklusif.
Program itu kini secara rasminya boleh didapatkan oleh pelanggan di Malaysia bermula hari ini secara dalam talian melalui laman web www.kinto-my.com.
Model semasa yang ditawarkan termasuk Toyota Vios, Yaris, Corolla, Innova, Fortuner dan Camry dengan banyak lagi model lain akan disertakan, termasuk kereta Lexus.