Apa tidak popularnya, jika ada video viral di media sosial, Myvi sering menjadi ‘watak utama’ atau ‘watak sampingan’.

Oleh itu, rakyat Malaysia sendiri dah tahu, sebut sahaja kereta ‘King’, semua dah tahu, itu model apa.
Daripada kelab peminat rasmi sehinggalah ke halaman media sosial khas, peminat Myvi telah mewujudkan komuniti tersendiri bagi meraikan dan berkongsi minat terhadap kereta kesayangan mereka itu.
Populariti Perodua Myvi juga terbukti apabila ia dinobatkan kereta paling laris di Malaysia selama lima tahun berturut-turut sejak 2018.
Namun, pada 2023, kedudukan 'Raja Jalanan' itu diambil alih pesaing yang merupakan ‘adik-beradiknya’ sendiri, iaitu, Perodua Bezza.

Menurut data yang diterbitkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebanyak 56,735 unit Bezza telah didaftarkan pada tahun 2023.
Ini jauh mengatasi jumlah Myvi yang didaftarkan pada tahun sama, iaitu 45,014 unit.
Oleh itu, tidak dinafikan setelah beberapa tempoh Perodua Bezza kini kekakl menjadi produk nombor satu untuk jenama Perodua.
Ramai mungkin tertanya: apa agaknya faktor yang mempengaruhi peralihan permintaan kepada Bezza?
Faktor Yang Mungkin Mem'Bezza'kan
Ada tiga faktor yang mungkin mempengaruhi keputusan pengguna: harga, penggunaan minyak dan kapasiti bagasi.
Dari segi harga, Bezza menang. Keempat-empat model Bezza lebih murah jika dibandingkan dengan kesemua lima model Myvi. Ini menjadikannya pilihan yang mesra dompet bagi pemandu.
Harga Bezza (tanpa insurans) antara RM35,580 hingga RM49,980, manakala harga Myvi bermula dari RM46,500 hingga RM59,900 (tanpa insurans).
Kecekapan minyak bagi Bezza juga dikatakan lebih baik berbanding Myvi, walaupun hanya sedikit.
Menurut laman web Perodua, model Bezza yang paling jimat minyak mampu mencapai 22.8km/l berbanding model Myvi paling cekap minyak, iaitu 22.2km/l.
Perbezaan kecekapan minyak ini mungkin disebabkan berat Bezza yang lebih ringan iaitu 902.5kg, berbanding purata berat model Myvi iaitu 1,005kg.
Kapasiti bagasi Bezza juga jauh melebihi Myvi. Semua model Bezza mempunyai kapasiti bagasi 508 liter, berbanding hanya 277 liter pada kesemua model Myvi.
Memandangkan saiz median isi rumah di Malaysia ialah 3.8 orang, tidak hairanlah jika ramai melihat Bezza sebagai pilihan lebih sesuai untuk membawa keluarga keluar bersiar-siar atau balik kampung.
Mungkin pilih kereta seperti pilih pasangan, selain daripada rupa yang menarik, kelebihan dan kemampuan juga menjadi salah satu tarikan, apa pendapat anda?
Baca lanjut di BH Online