Kilang tersebut juga dikhususkan kepada pembuatan dan pemasangan NEV termasuk kenderaan elektrik (EV) yang juga membuka peluang pekerjaan dan pelaburan baharu di Negeri Sembilan.
Majlis pecah tanah di Chembong Industrial Area, Rembau, Negeri Sembilan ini disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Haji Aminuddin Harun, hari ini.
Kapasiti permulaan kilang ini adalah sebanyak 30,000 unit setahun dan satu per tiga daripadanya merupakan model-model NETA melalui usaha sama di antara Careplus dan Intro Synergy Sdn Bhd iaitu anak syarikat GoAuto.
Selain tumpuan pada kenderaan berjenama NETA, ia juga terbuka kepada jenama NEV yang ingin melakukan pemasangan CKD (Completely Knocked Down) bagi kenderaan EV jenis penumpang, perdagangan ataupun motosikal.
Pada suku pertama tahun 2024, dijangkakan fasa pertama projek akan dijalankan yang merangkumi pembangunan kilang pemasangan.
Seterusnya, fasa kedua dan ketiga akan bermula pada tahun 2026 dan 2028, bagi meluaskan kapasiti pengeluaran kepada 50,000 unit setahun.
Oleh kerana operasi akan bermula pada awal 2025, proses pengambilan dan latihan tenaga kerja bagi kilang ini akan bermula seawal bulan Ogos 2024.
Fasa ini juga akan mewujudkan lebih 600 pekerjaan mahir dan separa mahir dengan pengkhususan pembuatan EV.
Kilang ini juga menggunakan penyelesaian mesra alam, seperti teknologi pelepasan air sisa sifar, pencemaran bunyi sifar, dan sisa pepejal diproses melalui pusat kitar semula yang terletak di dalam kawasan kilang.
Selain Intro Synergy Sdn Bhd sebagai pengedar tunggal jenama NETA), jenama seperti HIGER dan YUTONG akan bekerjasama dengan NMSB bagi memasang kesemua model yang dipasang secara tempatan di bawah jenama-jenama tersebut.
Majlis tersebut juga menyaksikan pertukaran perjanjian CKD di antara Intro Synergy dan Hozon New Energy Automobile Co. Ltd., sebagai kolaborasi bagi operasi CKD di Malaysia.
Selain itu, NMSB juga menukar persefahaman bersama Qingdao Huayue Guotai New Energy Car Co. Ltd. bagi meneroka peluang baharu bagi NEV di Malaysia dan ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman memuji serta mengucapkan tahniah kepada Careplus dan Go Auto atas usaha dalam memaju masa hadapan mobiliti lestari.
“Usaha ini menyumbang kepada sasaran EV negara di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) dan Dasar Tenaga Nasional (DTN).
“Ia juga seiring dengan aspirasi yang dihuraikan Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).” katanya.