Kia Stinger GT420, kereta trek Stinger berkuasa 422bhp dan 560Nm!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Kia Stinger adalah sisi yang jauh berbeza dengan model-model massa keluaran Kia. Syarikat global daripada Korea Selatan ini jarang menawarkan model beprestasi dan sekali keluar, kena pastikan ia betul-betul hebat.

Sayangnya model ini kurang mendapat sambutan, mungkin kerana harganya yang tinggi dan untuk rekod, Stinger juga dijual di negara kita.

Mungkin juga pada satu hari nanti Stinger akan menjadi buruan dan idaman ramai seperti yang dilalui oleh pengeluar kereta Jepun hari ini. Lihat sahaja model klasik Jepun seperti Nissan Skyline GT-R, Toyota Supra dan sebagainya.

Kita tidak tahu potensi Stinger pada masa depan, mungkin tergolong di dalam barisan kereta klasik rare.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
KIA STINGER GT420

 

Kuasa enjin standard Stinger memang hebat dan untuk menyerlahkan lagi prestasi yang ada, Kia Motors UK telah mengubahsuai unit pra-produksi yang digunakan untuk ujian pembangunan sebagai sebuah kereta projek.

Unit yang digunakan ini mempunyai sejarah panjang termasuk digunakan di dalam rancangan permotoran BBC Top Gear dan Amazon The Grand Tour.

Lagi sejarah menarik apabila ini adalah unit dengan nombor pendaftaran LA66 HTG yang turut digunakan di dalam program ujian dan talaan terakhir di United Kingdom dengan kelulusan final oleh Albert Biermann, Ketua Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan, Hyundai Motor Group.

Legasi unit ini terus bersambung apabila Kia Motors UK dengan bantuan Pusat Teknikal Hyundai Motor Eropah (HMETC) di Rüsselsheim, Jerman mengubahsuainya kepada versi trek perlumbaan. 

Kakitangan jabatan nadi kuasa HMETC terlibat dari awal mengubahsuai Stinger GT S kepada kereta trek.

 

KIA STINGER GT420


Projek kerjasama 50:50 ini melibatkan pengubahsuaian enjin dan juga mengurangkan berat supaya tampil lebih bertenaga dan ringan.

Di antara perkara yang disarankan kakitangan HMETC ialah palam pencucuh HKS M45il untuk prestasi pembakaran lebih bertenaga.

Penapis udara berprestasi K&N dan sistem ekzos Milltek Sport kembar empat menggantikan komponen asal. Penyejuk transmisi automatik enam baris menggantikan penyejuk standard empat baris bagi mengelak kepanasan melampau (overheat) sewaktu dipandu di litar lumba.

Perisian transmisi dikalibrasi semula untuk penukaran gear lebih pantas di dalam mod Sport dan Sport+. 

 

KIA STINGER GT420

 

Enjin standard Stinger adalah bersesaran 3,342 cc V6 dengan pengecas turbo berkembar berkuasa 355 bhp dan tork 510 Nm. Pengubahsuaian yang dilakukan berjaya meningkatkan kuasa kepada 422 bhp dan tork 560Nm. 

Bahagian dalaman kereta turut diusik dan ditanggalkan, di antaranya kerusi dan talipinggang keledar, beg udara, sistem audio, kemasan dan peralatan tingkap berkuasa.

Komponen lain turut ditanggalkan seperti penutup enjin, sensor parkir, damper bonet dan but dan busa. Cermin belakang dilekatkan secara kekal dan penutup pintu lebih ringan dipasangkan. Cermin suria standard digantikan dengan panel besi yang turut membantu mengurangkan berat.

Struktur pada bahagian bawah badan dikukuhkan dengan palang bersilang di depan dan sepasang palang pada bahagian belakang.

 

KIA STINGER GT420

 

Penjimatan berat yang dicapai selepas pemasangan rangka keselamatan, kerusi perlumbaan Sparco, tali pinggang perlumbaan dan pemadam api ialah sekitar 150 kilogram. Penggunaan bateri Lite Blox LiPo pula menjimatkan 22 kilogram berat.

Agenda pengurangan berat diteruskan dengan penggunaan rim lebar OZ Racing Leggera yang menyumbang kepada penjimatan kira-kira lima kilogram setiap roda. Rim tersebut dipadan bersama tayar Pirelli Trofeo R berukuran 235/35/R19 di depan dan 265/30/R19 di belakang.

Untuk pengendalian mantap, sudut camber dinaikkan kepada -2.5 darjah dengan mengubahsuai cross-member depan. 

Suspensi asal dikekalkan dan dipadankan bersama spring Eibach Pro dan bar anti oleng 25mm di depan dan 17 mm di belakang. Sistem kawalan suspensi berterusan elektronik digantikan dengan set konvensional dan penalaan semula dibuat supaya sesuai untuk kegunaan di litar.

 

KIA STINGER GT420

 

Untuk menghentikan kereta secara berkesan, brek depan yang digunakan dari jenis six pot Brembo dengan cakera berukuran 380 x 34mm dan pad Endless. Brek belakang kekal dengan komponen standard.

Sistem elektronik seperti brek anti kekunci, kawalan cengkaman dan kawal penstabilan elektronik dilaras semula untuk prestasi optimum di litar. Di dalam mod Sport+ dan apabila kawalan cengkaman dan kawalan penstabilan dimatikan, Stinger ini lebih mudah untuk drift.

Dari segi aerodinamik, bahagian luar kereta menggunakan splitter depan Stillen dan penambahan peresap (diffuser) pada bampar belakang manakal spoiler belakang yang digunakan adalah daripada Air Design.

Seperti namanya, Kia Stinger GT420 ini adalah projek one-off sahaja dan tidak dijual kepada orang ramai. Apa pun salut kepada Kia kerana mengeluarkan Stinger ini dan salut lagi sekali kerana menampilkan Stinger dalam versi perlumbaan.

Ini pelaburan untuk penjenamaan Kia supaya tampil lebih menyeronokkan dan legasi untuk masa depan.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

KIA STINGER GT420