Kia Stinger 2021 dipertonton, fastback bergaya dan berprestasi

oleh Muhammad Md Tajudin|
Kia Stinger 2021
Kia Stinger 2021
Kia meneruskan lagi agenda penggantian dan pembaharuan produknya dengan mendedahkan Stinger yang dipertingkatkan atau model 2021.

Di dalam barisan produk Kia, Stinger berada di aras istimewa dengan fokus pada prestasi dan pengendalian.

Stinger didefinisikan oleh Kia sebagai sports saloon fastback berprestasi tinggi dan perubahan yang dilakukan menaikkan lagi penampilan karakter gran turismo dan menambah baik kualiti dalaman selain tambahan warna.

Panjang juga definisi yang diberikan, ringkasnya Stinger merupakan sebuah fastback dengan prestasi tinggi dan untuk pengembaraan atau perjalanan jauh. 
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Kia Stinger 2017
Kia Stinger 2017

 

Dari pandangan luar, tidak banyak yang diubah kecuali bahagian dalam lampu depan LED dan kini lebih gelap.

Perubahan pada lampu belakang lebih mudah dikesan dengan nyalaan baharu selebar kereta. Lampu isyarat membelok mempunyai sepuluh LED yang disusun mengikut corak bendera penamat seperti di dalam perlumbaan.

Selain itu, pembeli Stinger varian lebih berkuasa diberi pilihan untuk mendapatkan peredam ekzos dengan muncung lebih dominan dan berwarna perak terang. 

Roda aloi pula ada dua saiz, 18 inci dan 19 inci dengan corak geometrik yang menyerlahkan lagi imej sporti kereta ini.

 

Kia Stinger 2021

 

Kia turut memperkenalkan dua pakej luaran baharu, varian berprestasi untuk pasaran antarabangsa dan satu lagi khusus buat pasaran Amerika Utara.

Stinger Dark Package didatangkan dengan warna hitam kilat pada sekeliling peresap (diffuser) dan warna hitam pada muncung ekzos serta logo Stinger pada pintu but.

Pasaran Amerika Utara pula menerima Black Package, tampil dengan roda 19 inci ringan, spoiler belakang baharu, perumah cermin sisi serta kemasan dapra (fender) yang dihitamkan.

Pada bahagian dalaman, Kia memberi fokus pada perubahan kecil bagi menambah seri kereta. 

Di antaranya ialah bahagian bawah stereng dengan kemasan metalik baharu yang sepadan dengan kemasan krom pada gugusan meter digital penuh saiz tujuh inci.

Cermin pandang belakang kini tanpa bingkai untuk pandangan lebih jelas.

 

Kia Stinger 2021

 

Bergantung kepada spesifikasi, papan pemuka dan pintu mempunyai sulaman kontra manakala konsol tengah dalam dua pilihan iaitu aluminium atau kemasan gentian karbon.

Di atas papan pemuka ialah ialah skrin sentuh maklumat hibur 10.25 inci dan sistem navigasi. Bahagian dalaman turut dilengkapi pencahayaan suasana (mood) dengan pilihan 64 warna.

Pelanggan pasaran global mempunyai pilihan balutan kulit Nappa dalam warna Merah, Saturn Black atau Beige

Pilihan Saturn Black pula didatangkan dengan kerusi balutan suede hitam dan sulaman merah bercorak rantai ala sambungan utas tangan jam.

 

Kia Stinger 2021

 

Pengguna di Korea (Stinger di dalam gambar) pula menerima interior berwarna coklat gelap dan kerusi kulit Nappa dengan jahitan bentuk berlian.

Maklumat lain seperti rangkaian kuasa, output enjin dan harga belum dikongsikan lagi.

Model hebat dari Kia ini dijadual memasuki pasaran Korea pada suku ketiga 2020 dan disusuli pasaran global lain.

Di pasaran tempatan, pengguna boleh mendapatkan Stinger (pra facelift) pada harga permulaan RM369,120.70.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
  Saiz DAL-e Delivery sebenarnya lebih kecil berbanding model terdahulu dan dapat beroperasi…
Berita Domestik
Panggilan semula produk dilakukan oleh pihak pengeluar apabila terdapat penemuan isu keselamatan…
Berita Global
Dibina di atas platform E-GMP, ia juga lebih kecil berbanding dengan EV6 yang sudah dijual di…