
Di Britain majalah mingguan Auto Express mempunyai anugerah khusus yang mengambil kira tempoh pemilikan yang dikenali sebagai tinjauan kereta terpakai Driver Power.
Auto Express baru sahaja mengumumkan keputusan terbaru dan Kia Sportage telah diundi oleh pemilik sebagai kereta terpakai terbaik.
Ribuan pemandu pelbagai model membuat penilaian terhadap pengalaman pemilikan mereka bagi menentukan kedudukan di dalam Driver Power dan keputusan terbaru menunjukkan jenama Jepun dan Korea mendominasi carta teratas.
Di dalam kedudukan tersebut hanya Skoda Superb generasi ketiga dan Jaguar XF generasi pertama mewakili jenama Eropah di dalam sepuluh tempat teratas.

Kia mencatatkan keputusan cemerlang dengan Sportage dan Sorento generasi ketiga masing-masing menduduki tempat pertama dan ketiga.
Lexus pula menduduki empat tempat manakala Prius meraih tempat kedua. Toyota Prius sebelum ini memenangi kereta baharu terbaik di dalam Driver Power 2019.
Tinjauan Auto Express Driver Power menggunakan pengalaman sebenar ribuan pemandu yang memiliki kereta mereka di dalam tempoh dua hingga sepuluh tahun. Setiap kereta dinilai berdasarkan 31 bahagian berasingan yang merangkumi kualiti, kebolehgunaan, prestasi dan kos pemilikan.
Keputusan penuh tinjauan Driver Power dengan kedudukan terperinci 75 buah model terpakai disiarkan di dalam majalah Auto Express edisi 11 September 2019.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
