Kia Sonet 2020 - pakej lengkap dan moden dalam sebuah SUV cilik!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah memperlihatkan gambar teaser pada penghujung bulan yang lalu, Kia Motors akhirnya melancarkan sebuah (lagi) SUV kecil yang disifatkan bakal mengubah trend crossover segmen A di India.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Kia Sonet tidak banyak membawakan perbezaan seperti model konsep yang diperlihatkan sebelum ini, melainkan penggunaan pemegang pintu yang biasa dilihat, serta cermin sisi yang lebih besar.

Di hadapan, ia membawakan penampilan kemas gril hidung harimau, lampu utama LED serta lampu nyalaan siang LED yang berbentuk seakan isyarat degupan jantung yang biasa dilihat pada elektrokardiogram.

 


Sebagai sebuah model yang dihasilkan khusus untuk golongan muda, ia membawakan elemen rekaan yang unik, seperti kemasan pada tiang C, cermin tailgate yang melengkung serta lampu belakang LED juga berbentuk seperti isyarat degupan jantung elektronik.

Tidak ketinggalan, elemen yang 'wajib' ada pada sebuah crossover seperti jarak kelegaan tanah yang tinggi, penggunaan cladding plastik pada bahagian bawah badan, skid plate dan juga rel bumbung.

 


Memasuki ruang dalaman, Kia Sonet nampaknya cuba untuk mengikut trend semasa menerusi pemasangan skrin berkembar bersaiz 10.25 inci untuk sistem infotainmen dan skrin kluster meter digital yang didatangkan dengan sistem navigasi, kemaskini keadaan trafik langsung serta kemaskini over-the-air (OTA), pertama seumpamanya untuk segmen tersebut.

Rekaan papan pemuka pula dibuat berorientasikan pemandu, serta menampilkan roda stereng dengan kehadiran butang fungsi, serta konsol tengah yang serba kompak menampilkan beberapa butang fungsi yang asas.

Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah penapis udara Smart Pure Air Purifier beserta perlindungan daripada virus, sistem audio BOSE Premium dengan tujuh pembesar suara dan subwoofer, tempat duduk berventilasi, slot pengecasan nirwayar dengan fungsi penyejuk, serta sistem pencahayaan Sound Mood LED.

Selain daripada itu, enjin Kia Sonet mampu dihidupkan dari jauh menggunakan ciri UVO Connect dan Smart Key.

 


Sebut pasal enjin, Kia Sonet bakal ditawarkan dalam tiga pilihan enjin, iaitu: enjin petrol inline-4 1.2 liter Smartstream, enjin turbo inline-3 1.0 liter TGDi serta enjin diesel 1.5 liter CRDi, dan lima jenis transmisi iaitu manual 5 kelajuan, manual enam kelajuan, DCT tujuh kelajuan, AMT enam kelajuan dan transmisi iMT Smartstream, juga enam nisbah kelajuan.

Sistem iMT yang disebutkan itu tadi merupakan teknologi baharu yang menawarkan sistem transmisi manual yang boleh dikawal tanpa kehadiran pedal klac seperti tipikal transmisi manual sedia ada.

Ini bermakna, Kia Sonet merupakan model kedua yang didatangkan dengan sistem iMT selepas pengenalannya pada Hyundai Venue.

Aspek keselamatan Kia Sonet turut tidak dilupakan dengan ciri seperti enam beg udara, ABS, EBD, ESC, bantuan brek, penderia parkir hadapan dan belakang, sistem pemantauan tekanan tayar, lampu automatik dan cagak ISOFIX.

 


Dengan pengenalan Kia Sonet, ia juga merupakan model global kedua Kia yang dipasang di kilang Kia Anantapur, Andhra Pradesh, India selepas model Kia Seltos.

Berita Berkenaan

Berita Global
Setelah beberapa bulan, Kia akhirnya bersedia untuk melancarkan secara rasmi model SUV Sonet…
Berita Global
  Penawaran Sonet menunjukkan persaingan SUV akan datang ialah dalam segmen A yang kini diisi '…