Inisiatif ini merupakan program pertama yang memfokuskan pengalaman pemilikan pelanggan oleh Kia Sales Malaysia (KSM), selari dengan strategi jenama mereka yang berteraskan “Return, Rebuild and Reposition” bagi mengukuhkan semula kedudukan Kia di Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KSM, Hyung Ho Kim berkata program tersebut diwujudkan untuk membina hubungan lebih rapat dengan pelanggan di samping memperkukuhkan penawaran selepas jualan Kia di Malaysia.

Menurut beliau, Kia mahu memastikan pelanggan menikmati pengalaman pemilikan yang lebih meyakinkan menerusi penambahbaikan operasi selepas jualan, piawaian servis serta penjagaan pelanggan jangka panjang.
Kenderaan Kia Lebih 400,000 KM Turut Sertai Program
Sebagai sebahagian daripada program tersebut, beberapa kenderaan Kia yang mengambil bahagian dilaporkan telah mencatat jarak perjalanan melebihi 400,000 km, menunjukkan tahap ketahanan jangka panjang model Kia dalam penggunaan sebenar di Malaysia.
Pengarah Urusan KSM, Emily Lek pula menjelaskan fokus utama syarikat kini adalah memperkukuh operasi pengedar, memastikan bekalan alat ganti mencukupi serta menawarkan kos pemilikan yang lebih kompetitif kepada pelanggan.
Beliau turut memaklumkan Kia mempunyai gudang alat ganti khusus seluas hampir 35,000 kaki persegi bagi meningkatkan kecekapan servis dan mempercepatkan tempoh pembaikan kenderaan pelanggan.
Pemeriksaan Lebih 100 Kenderaan Kia
Program Kia Ownership Experience turut menampilkan demonstrasi teknikal yang diketuai oleh Hyung Gyu Choi, seorang pakar teknikal global Kia dengan pengalaman lebih 34 tahun dalam bidang selepas jualan dan teknikal.
Sepanjang program berlangsung, lebih 100 kenderaan Kia termasuk Forte, Cerato, Optima, Picanto, Sorento, Grand Carnival, Sportage dan Sephia akan diperiksa secara terus oleh pasukan teknikal Kia.

Pelanggan yang menyertai program tersebut turut menerima minyak enjin percuma, pengelap cermin hadapan Kia serta cucian kereta selepas pemeriksaan dilakukan.

Kia Perkenal Pelan Penyelenggaraan Hingga Lima Tahun
Dalam masa sama, Kia turut memperkenalkan Kia Maintenance Plan yang membolehkan pelanggan membuat bayaran awal kos penyelenggaraan sehingga lima tahun bagi memastikan kos servis lebih stabil dan mudah dirancang.

Pelan tersebut merangkumi:
- Penukaran minyak enjin sintetik penuh dan penapis minyak
- Penukaran penapis kabin
- Penukaran penapis udara enjin
- Penukaran cecair brek
- Penukaran palam pencucuh
- Pemeriksaan kenderaan pelbagai titik
Untuk Kia Sportage, varian 1.6T ditawarkan pada harga RM2,980 bagi tempoh lima tahun atau 50,000 km, manakala varian 2.0 pula berharga RM3,680 bagi tempoh lima tahun atau 75,000 km.

Sementara itu, semua varian Kia Carnival 2.2D termasuk versi 7-tempat duduk, 8-tempat duduk dan 11-tempat duduk ditawarkan pada harga RM3,580 untuk tempoh lima tahun atau 50,000 km. Kia Carnival turut didatangkan dengan waranti lima tahun atau 150,000 km selain menawarkan kos penyelenggaraan yang lebih rendah kepada pelanggan.
Cycle & Carriage Ambil Alih Kia Glenmarie
Program ini turut menjadi pentas pengenalan pusat 3S utama Kia Glenmarie yang bakal dikendalikan oleh kumpulan pengedar baharu, Cycle & Carriage.






Fasiliti baharu itu mempunyai keluasan binaan 39,240 kaki persegi dan mampu mempamerkan sehingga lapan kenderaan dalam satu masa. Ia turut dilengkapi 20 ruang servis lengkap dengan sistem diagnostik terkini yang diluluskan pengeluar.