Kia Mohave Masterpiece, SUV saiz besar yang segak dan gagah

oleh Muhammad Md Tajudin|
Kenderaan Kia sekarang ini bukan biasa-biasa, padat dengan teknologi, harga berpatutan dan reka bentuk pula menarik. Cuma satu perkara tentang Kia ialah reka bentuk yang tidak konsisten untuk beberapa modelnya.

Reka bentuk Kia Sportage misalnya terlalu mencuba hendak menjadi seperti sebuah SUV premium daripada Jerman.

Kia Forte yang asalnya segak dengan gayaan bergaris dilembutkan pada generasi kedua dan ketiga. Tidak mengejutkan apabila Forte pasaran China mempunyai identiti tersendiri berbanding pasaran lain.

Lain pula halnya dengan Rio, daripada comel berbentuk lembut kini menggunakan gayaan bergaris.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Kia Mohave Masterpiece

Kaedah begini membuatkan model-model tersebut tidak konsisten. Tidak pasti eksperimen apa yang hendak dicapai Kia sedangkan mereka sudah teguh dengan prinsip sedia ada.

Namun tidak dinafikan model-model lain seperti Grand Carnival, Sorento, Soul dan Picanto cantik di atas jalan raya.

Pada Januari lepas, Kia tampil dengan SUV besar dikenali Telluride untuk pasaran Amerika Syarikat. SUV ini nampak bergaya dan gah dengan identiti tersendiri, bukan menceduk mana-mana pengeluar.

Sebelum Telluride, Kia sudah mempunyai SUV besar dikenali sebagai Mohave atau Borrego. SUV ini hanya khusus untuk beberapa pasaran sahaja seperti Korea Selatan, Amerika Syarikat, Kanada dan China.

Model ini diperkenalkan pada tahun 2008 dan mengalami beberapa facelift dan satu perkara unik ialah ia menggunakan casis ladder frame.

SUV besar ini sudah berada di tahun kesebelas dan nampaknya pengganti sudah diberi bayangan.

 

Kia Borrego Limited SEMA 2008
Kia Borrego Limited SEMA 2008

 

Pada Pameran Kenderaan Seoul 2019, Kia mempertontonkan Mohave Masterpiece yang tampak segak dan bergaya.

Walaupun segak, model konsep ini nampak lebih kepada versi facelift Mohave sedia ada melalui beberapa persamaan seperti bingkai tingkap dan tiang A, B dan C.

Tidak kisah facelift atau tidak, Mohave Masterpiece tampil dengan identiti tersendiri dan menurut Kia, model konsep ini membawa gayaan terkini mereka dengan garisan badan menonjol dan berketerampilan.

Pada bahagian depan, elemen paling masyhur sejak sekian lama untuk Kia ialah gril 'hidung' harimau yang lebih ringkas dan diapit oleh susunan kemas lampu LED.

Bahagian belakang turut mengulangi gayaan depan dengan lampu LED dan kelihatan kemas dan tidak berserabut.

 

Kia Borrego Limited SEMA 2008
Kia Borrego Limited SEMA 2008

 

Berkenaan nadi kuasa, Kia tidak menyatakan apa isi dalam SUV ini dan jika dilihat rekod model sedia, sesaran enjin Mohave tidak pernah kecil iaitu 3800 cc Lambda II V6, 4600 cc Tau V8 dan 3000 cc S-Line V6 CRDi.

Memang sakan sesaran enjinnya jadi tidak hairan apabila model ini lebih sesuai dipasarkan di beberapa pasaran terpilih sahaja.

Kesimpulan yang boleh dibuat ialah, lebih baik Kia meneruskan reka bentuk begini yang mempunyai identiti tersendiri berbanding dipengaruhi pengeluar lain dan tidak konsisten.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
  Saiz DAL-e Delivery sebenarnya lebih kecil berbanding model terdahulu dan dapat beroperasi…
Berita Domestik
Panggilan semula produk dilakukan oleh pihak pengeluar apabila terdapat penemuan isu keselamatan…
Berita Global
Dibina di atas platform E-GMP, ia juga lebih kecil berbanding dengan EV6 yang sudah dijual di…