Secara peribadi, wajah depan Forte generasi ketiga kurang ekspresif berbanding generasi pertama dahulu.
Berbeza dengan Forte atau K3 untuk pasaran China, ia tampil dengan wajah depan yang langsung berbeza dan tampak garang berbanding kembarnya di AS.
K3 ini direka dan dibangunkan dengan teknologi serta fungsi khusus untuk pasaran China dan menariknya turut ditawarkan dalam versi elektrik plug-in.
Selain K3 dan K3 Plug-in Hybrid, DYK turut mempamerkan K3 CTCC yang dibina khusus untuk Kejuaraan Kereta Penumpang China.
Reka bentuk K3 yang berbeza dengan Forte pasaran AS ini bukan projek ringan, ia sebenarnya diselia oleh Oleg Son, Naib Presiden dan Ketua Kia Design, China.
K3 tampil dengan permukaan yang tajam, garisan tepat, lancar dalam menghasilkan satu reka bentuk kemas, moden selain daripada gril jelas menonjol dan berketrampilan di atas jalan raya.
Perincian K3 boleh dilihat pada gayaan lampu signatur 'degupan jantung' LED bahagian depan dan belakang kereta.
Dari segi kuasa, K3 ditawarkan dengan tiga nadi kuasa khusus bagi memenuhi citarasa unik dan keperluan pasaran China.
Terdapat tiga pilihan enjin iaitu 1.5 liter petrol dan 1.4 liter turbo T-GDI dan satu lagi ialah plug-in hibrid.
Akhir sekali apa pendapat anda tentang K3 ini? Seperti yang dikongsi awal tadi, Naza Kia sudah pun mempertontonkan Forte pada KLIMS 2018 lalu dan masih belum dilancarkan lagi.
Perbandingan mudah ialah K3 lebih garang dan menonjol berbanding Forte pasaran Amerika Syarikat. Apa pun, reka bentuk adalah subjektif dan masing-masing mempunyai citarasa tersendiri bukan?
Penulis: Muhammad Md Tajudin