Kia HabaNiro - crossover elektrik dengan elemen muncung jerung

oleh Mohamad Hanif|

Kia HabaNiro merupakan sebuah lagi kereta konsep yang dipamerkan pada acara New York Auto Show yang lalu. 

Menggandingkan elemen kereta elektrik dan ciri kenderaan swapandu, HabaNiro dikatakan sebagai pandangan masa hadapan sistem mobiliti manusia lengkap dengan pelbagai ciri termaju.

Ia dibangunkan oleh studio Kia California yang membawakan ciri cladding berwarna kelabu metalik yang bersambung dengan gril hadapan. 
 


Menurut Kia, rekaan ini melambangkan muncung ikan jerung yang lengkap dengan 'gigi' yang dilayangkan warna hitam aluminium berkilat, tiada lagi elemen hidung harimau seperti mana kereta Kia sebelum ini. 

Antara penampilan unik pada muka hadapan Habaniro ini ialah lampu nyalaan siang LED berbentuk lakaran ECG degupan jantung, skid plate berwarna aluminium satin dan cangkuk tunda aluminium. 

Bukaan pintu yang unik ala-ala kepak rama-rama mendedahkan ruang dalaman yang mampu memuatkan empat orang pada satu-satu masa. 

 


Elemen merah yang dipamerkan diluar nampaknya lebih menguasai ruang dalaman, terutama di bahagian lantai yang menampilkan rekaan geometri dengan lampu terbina dalam. 

Uniknya, jika sebelum ini kereta konsep Kia menampilkan rekaan skrin berbilang bentuk, Kia HabaNiro tidak mempunyai sebarang skrin paparan. 

Sebaliknya, ciri head-up display (HUD) menguasai keseluruhan windscreen hadapan lengkap dengan panel kawalan akrilik dan paparan sentuh interaktif. 

Konsep ini juga menampilkan Technical Option Sharing System (TOSS) yang membenarkan pengguna mengakses dan mengalihkan opsyen-opsyen menu dengan pengalaman seakan-akan pengguna sedang bermain chess. 

Ini menjawab persoalan kenapa papan pemuka Kia HabaNiro begitu ringkas, dan ini membantu menambahkan lagi ruang dalaman crossover elektrik untuk keselesaan penumpang. 

 


Ciri swapandu tahap kelima dibantu dengan sistem pemanduan adaptif emosi masa nyata Kia di mana sistem ini mampu mengoptimasikan tetapan kabin berdasarkan emosi pemandu semasa. 

Spesifikasi teknikal tidak didedahkan sepenuhnya namun menurut Kia, HabaNiro mampu untuk bergerak sejauh 483 km untuk sekali pengecasan penuh. 

Kuasa diperoleh daripada motor elektrik berkembar yang dipasang, tiap satunya menggerakkan gandar hadapan dan belakang yang mengesahkan bahawa Kia HabaNiro didatangkan dengan konfigurasi pacuan semua roda. 

 


 

Add new comment

Careta Ad