Kia Forte 2022 facelift - kemaskini dengan penampilan yang lebih garang

oleh Mohamad Hanif|
Kia baru-baru ini melancarkan secara rasmi model facelift sedan Kia Forte 2022 untuk pasaran Amerika Utara.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Lebih dikenali dengan nama Cerato atau K3 di sesetengah pasaran, Kia Forte 2022 boleh didapati dalam empat varian utama (FE, LXS, GT-Line dan GT), serta penawaran opsyen Technology untuk varian LXS, GT-Line dan GT), serta pakej Sport Premium untuk GT-Line.

Dari segi penampilan, muka hadapan Kia Forte 2022 ini telah direka semula di mana unit lampu utama kini menjadi lebih panjang dan dilihat bersambung secara terus dengan gril hadapan hidung harimau.
 

Kia


Rekaan bampar depan juga menjadi lebih agresif dengan bukaan yang lebih bergaya, serta penambahan unit lampu LED.

Kemasan pada bahagian belakang pula menampilkan grafik LED baharu pada lampu belakang, emblem Kia yang dikemaskini, spoiler trunk lid dan rekaan bampar yang mendapat sedikit sentuhan.

Untuk Forte, Kia menawarkan rekaan rim aloi baharu bersaiz 16 dan 17 inci terutama untuk trim LX dan GT-Line.
 

Kia


Sementara ruang kabin pula menampilkan skrin sentuh di bahagian tengah bersaiz 10.25 inci yang lengkap dengan sistem navigasi, atau skrin lapan inci untuk trim FE dan LXS yang lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Namun tidak seperti Forte spesifikasi Korea yang mendapat skrin instrumen digital 10.25 inci, Forte spesifikasi AS hanya mendapat skrin bersaiz 4.2 inci sahaja.

Antara kelengkapan yang ada termasuklah brek parkir elektronik dengan fungsi auto hold, slot pengecasan USB, upholsteri kulit sintetik SynTex, sistem kunci Smart Key, serta kelengkapan keselamatan ADAS yang menawarkan sehingga 15 sistem yang merangkumi bantuan pemanduan lebuh raya, kawalan jelajah berasaskan navigasi dan amaran keluar dengan selamat.

Dari segi kuasa, Kia Forte 2022 boleh didapati dalam dua pilihan enjin, di mana tiga varian terendah hadir dengan enjin 2.0 liter NA yang menghasilkan 147 hp dan 178 Nm yang dipadankan dengan transmisi IVT.
 

Kia


Varian GT yang lebih berkuasa pula didatangkan dengan enjin 1.6 liter turbo GDI yang menghasilkan 201 hp dan 264 Nm, serta pilihan transmisi manual enam kelajuan atau klac berkembar tujuh kelajuan!

Selain daripada enjin yang berkuasa, trim GT turut mendapat sistem suspensi yang lebih sporti, konfigurasi multi-link pada gandar belakang, tip ekzos berkembar dan sistem brek yang dipertingkatkan.