Kia EV6 dilancarkan secara rasmi - 577 hp/740 Nm, pecutan 0-100 dalam 3.5 saat!

oleh Mohamad Hanif|
Siapa sangka, disebalik rupa paras yang tidak lagi menampakkan identiti Kia, EV yang baharu sahaja dilancarkan ini memiliki prestasi yang sangat mengkagumkan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dari segi dimensi, Kia EV6 memiliki panjang 4,680 mm, lebar 1,880 mm dan tinggi 1,550 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,900 mm, menjadikan ia sedikit kecil berbanding saudaranya Kia Sorento.

Model kenderaan elektrik pertama yang dibangunkan oleh Kia, Kia EV6 ini menampilkan falsafah rekaan baharu "Opposites United" yang berevolusi daripada rekaan terdahulu, dimulakan dengan rekaan gril yang lebih nipis yang diapit dengan unit lampu utama dengan elemen sekuential.

 


Rekaan bampar hadapan juga tidak menggambarkan EV6 sebagai sebuah kenderaan elektrik, memandangkan terdapat ruang kemasukan udara di bahagian tengah, serta liang menegak di bahagian sisi.

Tidak banyak garis badan yang sibuk terdapat pada bahagian sisi, dan Kia mengemaskan lagi dengan kehadiran rekaan bumbung terapung yang diikuti dengan pemasangan spoiler bumbung yang bertindak menyalurkan aliran udara ke unit spoiler bawah yang terdapat pada unit lampu belakang.

Rekaan unik yang ditampilkan pada bahagian luar diteruskan di bahagian kabin yang menempatkan papan pemuka yang serba minimalis, skrin paparan digital 12 inci dan skrin infotainmen melengkung bersaiz 12 inci yang lengkap dengan teknologi Kia Connect, sokongan kemaskini over-the-air dan perkhidmatan masa nyata.

 


Selain daripada itu, Kia EV6 didatangkan dengan roda stereng dua jejari, tempat duduk balutan fabrik daripada bahan plastik kitar semula, kehadiran butang fungsi futuristik, sistem paparan head-up augmented reality (AR), sistem audio Meridian dengan 14 pembesar suara dan teknologi Active Sound Design.

Disebabkan jarak antara roda yang panjang, Kia EV6 menawarkan ruang kabin yang lebih luas dengan ruang kargo sebesar 520 liter (sehingga 1,300 liter) dan kehadiran ruang kargo hadapan frunk sebesar 52 liter.

Dari segi kuasa pula, Kia EV6 didatangkan dalam beberapa penawaran seperti:

1. Pek bateri standard 58 kWh
-versi RWD, motor elektrik tunggal (168 hp/350 Nm)
-versi AWD, motor elektrik berkembar (232 hp/605 Nm), pecutan 0-100 km/j dalam 6.2 saat

2. Pek bateri 77.4 kWh
-versi RWD, motor elektrik tunggal (225 hp/350 Nm)
-versi AWD, motor elektrik berkembar (321 hp/605 Nm), pecutan 0-100 km/j dalam 5.2 saat, jarak operasi 510 km

3. Kia EV6 GT
-versi AWD sahaja, 577 hp/740 Nm
-pecutan 0-100 km/j 3.5 saat
-kelajuan tertinggi 260 km/j
-jarak operasi 405 km
-perisian LED elektronik yang membenarkan pemanduan dan pengendalian yang lebih dinamik

 


Kia EV6 dibangunkan atas platform E-GMP serta menampilkan keupayaan pengecasan 400V dan 800V yang membolehkan pengecasan dalam tempoh 18 minit dari 10 peratus kepada 80 peratus kapasiti bateri, atau jarak 100 km dalam masa empat minit setengah sahaja untuk model EV6 versi pacuan roda belakang.

Selain daripada itu, Kia EV6 turut dilengkapi sistem brek regeneratif pintar dengan enam tahap pemulihan tenaga, serta pam tenaga haba yang akan menyalurkan sisa haba daripada sistem penyejukan kenderaan, bertujuan untuk memastikan jarak operasi yang maksimum walaupun suhu sekeliling turun dengan mendadak.

Sistem kawalan pengecasan yang terdapat pada EV6 ini turut membolehkan pemilik mengakses fungsi vehicle-to-load, atau dalam erti kata lain Kia EV6 boleh bertindak sebagai sebuah sumber kuasa untuk menyalurkan tenaga kepada barangan elektrik.

Seperti contoh, dalam keadaan ketiadaan bekalan elektrik Kia EV6 mampu menghidupkan sistem pendingin hawa dan TV bersaiz 55 inci selama lebih 24 jam, dan ia juga boleh digunakan untuk mengecas EV yang lain.

 


Dari segi keselamatan, Kia EV6 hadir dengan ciri bantuan pemandu seperti Bantuan Mengikut Laluan, Bantuan Keluar dengan Selamat, Bantuan Parkir Jarak Jauh Pintar, dan Highway Driving Assist 2 yang menggandingkan kawalan jelajah adaptif dengan fungsi bantuan pemusatan laluan yang membenarkan pemandu menukar laluan dengan hanya satu sentuhan pada tuil indikasi.

Tidak dilupakan, Kia EV6 juga boleh digunakan untuk menarik beban seperti camper, trailer atau muatan bot dengan berat tidak melebihi 1,600 kg dan kapasiti bateri melebihi 35 peratus.

Kia EV6 sudah boleh ditempah di beberapa buah pasaran terpilih, dan pengeluar dari Korea Selatan itu berharap agar dapat menjual sebanyak 20,000 unit setahun di Amerika Syarikat, atau 100,000 unit di peringkat global.

 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Untuk meraikan pencapaian tersebut, Kia telah melancarkan model edisi terhad yang dinamakan sebagai…
Telah Diuji
Dalam keterujaan dan keseronokan, penulis juga berasa sedikit gementar kerana ini adalah pengalaman…
Berita Global
Tidak semua mempunyai reputasi kebolehpercayaan (reliability) yang sama, berdasarkan laporan…