Kia EV3 diperkenal, 2 jenis bateri, pemanduan sehingga 600 km!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Kia EV3 Baseline 2025
Kia EV3 Baseline 2025
Keluarga kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik Kia kini bertiga selepas EV3. Cantik susunan Kia yang merangkumi EV9, EV5 dan EV3.

Nama ringkas dan rekabentuknya mirip di antara satu sama lain. Ketiga-tiga model dibangunkan dari pelantar Electric-Global Modular Platform (E-GMP).

Untuk makluman, EV9 sudah diperkenal di pasaran tempatan manakala EV5 dilancar di Thailand.

Rekaan depan membawa gaya ikonik Tiger Face dan diserlahkan lampu Star Map yang galak digunakan pada model terbaru Kia.
Kia EV3 GT-Line 2025


Bahagian sisi pula bersegi dengan pillar C ala EV5 selain rekaan roda yang unik.

Bahagian belakang meneruskan rekaan bersegi dengan bentuk lampu mirip EV9 berbanding EV5.

Walaupun berkongsi gaya, ketiga-tiga model dibezakan dengan identiti tersendiri ibarat adik-beradik yang mempunyai tingkah laku masing-masing.

Pelanggan yang mahu EV3 gaya sporty boleh dapatkan varian GT-Line dengan bampar depan dan belakang lebih garang. Rona hitam juga lebih jelas kelihatan pada varian ini.

 

Kia EV3 GT-Line 2025

 

Berkotak dan bersegi tidak bermakna lemah dari segi rintangan angin dan EV3 mempunyai kadar pekali seretan Cd 0.263.

Rintangan angin satu perkara penting untuk EV kerana boleh mempengaruhi jarak pemanduan.

Jika bahagian luar sarat dengan lekukan dan segi, bahagian dalam pula tenang dan ringkas.

Kia tidak menyalin bulat-bulat papan pemuka dan ketiga-tiga model mempunyai rekaan berbeza.

 

Kia EV3 GT-Line 2025

 

Skrin yang panjang berukuran hampir 30 inci yang terdiri daripada 12.3 inci untuk pemandu, lima inci panel penyaman udara dan 12.3 inci paparan Audio, Video, Navigasi (AVN).

Dari segi muatan, frunk (bonet depan) mempunyai kapasiti 25 liter dan ruang belakang sebanyak 460 liter dan meningkat kepada 1,250 liter dengan kerusi belakang dilipat.

EV3 nampak padat dari luar namun tidak terlalu kecil kerana berukuran panjang 4.3 meter (m) atau sedikit pendek daripada Honda HR-V.

 

Kia EV3 GT-Line 2025

 

Berkenaan rangkaian kuasa, Kia menawarkan dua jenis bateri iaitu 58.3 kilowatt-jam (kWj) bagi varian Standard dan 81.4 kWj untuk varian Long Range.

EV3 menggunakan senibina 400V seperti EV5 berbanding 800V pada EV9.

Ciri-ciri Kia EV3:

Ukuran:

  • 4.3 (p) x 1.85 x 1.56 m
  • Jarak roda 2,680 m

Rangkaian kuasa:

  • Motor elektrik depan.
  • Bateri 58.3 kWj (Standard) dan 81.4 kWj (Long Range)
  • Jarak pemanduan 600 km (81.4 kWj)
  • Kuasa: 150 kW (204 hp), 283Nm
  • Pecutan 0 - 100 kmj: 7.5 saat
  • Kelajuan tertinggi: 170 kmj

Pengecasan:

  • Kuasa pengecasan DC: 102 kW (Standard), 128 kW (Long Range)
  • Tempoh pengecasan DC: 31 minit (10 - 80%) (Long Range)

Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS):

  • Electric Dynamic Torque Vectoring Control (eDTVC)
  • Bantuan Pengelakang Pelanggaran Depan
  • Bantuan Pengekalan Lorong
  • Bantuan Pemanduan Lebuh Raya
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Parkir Mengundur

EV3 diperkenal di Korea terlebih dahulu pada Julai sebelum pelancaran di Eropah pada setengah tahun kedua 2024. 

Kia turut merancang untuk meluaskan penawaran EV3 ke pasaran lain.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

 Kia EV3 GT-Line 2025

 

Tags

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menerusi kerjasama dengan pengedar tunggal, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, Batik Air menawarkan…
Informasi
Beliau berkata, syarikat penerbangan tempatan boleh mengambil contoh seperti mana yang dilakukan…
Berita Domestik
Pengedar rasmi jenama Mazda dan Kia di Malaysia itu yakin bahawa akan ada peningkatan dari segi…