Walaupun angka itu tidak mencapai sasaran asal 3.22 juta unit, prestasi tersebut tetap mencipta rekod tahunan baharu buat pengeluar automotif dari Korea Selatan itu.
SUV Terus Dominasi Jualan Kia
Segmen SUV kekal menjadi tulang belakang jualan Kia pada 2025. Tiga model terlaris jenama itu semuanya terdiri daripada SUV, dengan Kia Sportage mendahului carta jualan global.
Kia Sportage mencatatkan jualan sebanyak 569,688 unit, diikuti oleh Kia Seltos dengan 299,766 unit, manakala Kia Sorento berada di tempat ketiga dengan 264,673 unit. Kejayaan ini mengesahkan strategi Kia yang semakin memfokuskan kepada SUV untuk pasaran global.
Sasaran 2026 Lebih Tinggi Dan Lebih Agresif
Bagi 2026, Kia menyasarkan jualan global sebanyak 3.35 juta unit. Sasaran ini disokong oleh peningkatan kapasiti pengeluaran serta pengenalan model baharu dan generasi seterusnya, termasuk Telluride dan Seltos.
Untuk pasaran domestik Korea Selatan, Kia menyasarkan jualan sebanyak 565,000 unit. Bagi pasaran luar Korea pula, sasaran ditetapkan pada 2.775 juta unit, meningkat berbanding 2.58 juta unit pada 2025.
Kenderaan Khas Dan Segmen EV
Kia turut memaklumkan bahawa jualan Special Purpose Vehicles (SPV), termasuk kenderaan ketenteraan, dikira secara berasingan. Bagi 2026, Kia merancang untuk menjual 10,000 unit SPV, meningkat hampir dua kali ganda berbanding 5,789 unit pada 2025.

Dalam segmen kenderaan elektrik, Kia melihat potensi besar pada model peringkat permulaan seperti EV3. Namun, model EV kecil yang dipratonton melalui konsep sebelum ini hanya akan memasuki pasaran lewat 2026, dengan kesan jualan penuh dijangka bermula pada 2027.
Prestasi Hyundai
Jenama saudara Kia, Hyundai, turut gagal mencapai sasaran jualan 2025. Daripada sasaran awal 4.17 juta unit, Hyundai mencatatkan penghantaran sebanyak 4.14 juta unit. Untuk 2026, Hyundai menyasarkan jualan sekitar 4.16 juta unit secara global.