Kia Cerato 2020 dikesan di Pulau Pinang - pelancaran tidak lama lagi?

oleh Mohamad Hanif|
Baru-baru ini, kelibat model sedan baharu Kia dikesan sedang diuji di Lebuhraya Sungai Dua Pulau Pinang, terima kasih kepada rakan pembaca Careta yang sudi dikenali dengan nama Chot Kureno.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Berdasarkan pengamatan dan pengesahan daripada penghantar imej itu sendiri, model yang diuji penuh dengan pelekat samaran ini merupakan sedan Kia Cerato 2020.

Kia K3, atau nama di pasaran yang berbeza Kia Forte/Kia Cerato kini sudah memasuki generasi ketiga semenjak pelancaran rasmi dibuat pada acara North America International Autoshow 2018 sebagai model tahun 2019.

 


Dari segi dimensi, ia membawakan ukuran yang lebih besar berbanding model terdahulu, iaitu 4,640 mm x 1,798 mm x 1,440 mm dengan kadar ketegaran casis meningkat 16 peratus, terima kasih kepada penggunaan 54 peratus lebih penggunaan keluli berkekuatan tinggi termaju.

Kuasa pula hadir daripada enjin Nu 2.0 liter empat silinder sebaris yang mampu menghasilkan 147 hp dan daya kilas 179 Nm yang mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api serendah 6.7 liter/100 km.

 


Sistem transmisi pula adalah daripada CVT jenis rantai yang menawarkan pecutan yang lebih linear dan lancar, serta mampu beroperasi lebih senyap.

Ciri keselamatan yang hadir pada Kia Cerato ini merangkumi beberapa komponen seperti Amaran Pelanggaran Titik Buta, Bantuan Pengekalan Laluan, Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan dan Kawalan Pelayaran Pintar.

Setakat ini, tidak diketahui bilakah tarikh pelancaran rasmi sedan segmen C ini memandangkan Kia juga kini mempunyai sebuah lagi model yang sedang menunggu giliran - Kia Seltos.