Kia Ceed Sportswagon PHEV - 139 hp, 265 Nm, jarak operasi sifar emisi 58 km!

oleh Mohamad Hanif|
Di Eropah, pasaran wagon sebenarnya masih lagi mengukuh dan rata-rata pengeluar berlumba-lumba untuk menawarkan model masing-masing.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kia contohnya, membawakan model baharu Ceed Sportwagon PHEV beserta dengan model crossover Xceed PHEV untuk tahun ini. 

Kia Ceed Sportswagon PHEV hanya ditawarkan dalam satu varian tunggal sahaja dengan penawaran standard seperti rim aloi bersaiz 17 inci, lampu LED automatik, wiper pengesan hujan, lampu nyalaan siang LED, tingkap kaca privasi dan rel bumbung.

 


Ruang kabin Ceed Sportswagon PHEV ini didatangkan dengan upholsteri gabungan fabrik dan kulit palsu, roda stereng balutan kulit, sistem pendingin hawa dua zon, serta cermin pandang belakang auto-kelam. 

Dari segi penawaran sistem hiburan, Kia Ceed Sportswagon dipasang dengan skrin sentuh bersaiz 10.25 inci yang turut menawarkan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto. 
 


Ciri keselamatan standard turut didatangkan termasuklah bantuan kekal laluan, bantuan suluhan tinggi, sistem amaran tumpuan pemandu, kawalan pelayaran, sistem pengehad kelajuan, bantuan mula mendaki dan sistem pengelakan pelanggaran hadapan. 

Crossover Kia Xceed pula hadir dalam dua varian, iaitu varian asas '3' yang menawarkan kemasan yang serupa seperti Kia Ceed Sportswagon PHEV dengan tambahan aksesori seperti:

  • stereng dengan pemanas terbina dalam
  • tempat duduk dengan pemanas terbina dalam
  • cermin sisi boleh laras elektrik
  • rim aloi bersaiz 16 inci
     


Manakala varian 'First Edition' pula datang dengan set rim bersaiz 18 inci, upholsteri kulit hitam, cermin suria panorama, tempat duduk belakang dengan pemanas terbina dalam, bantuan parkir pintar, tempat duduk belakang dengan nisbah 40:20:40, tailgate berkuasa dan paparan instrumen digital 12.3 inci.

Kedua-dua model dilengkapkan dengan kemaskini perisian yang membolehkan pemilik menetapkan lokasi dan waktu pengecasan kenderaan berdasarkan tarif tenaga luar waktu puncak. 

Selain daripada itu, sistem ventilasi dan pendingin pada kedua-dua kenderaan ini turut didatangkan dengan ciri 'Driver Only' yang akan memadamkan fungsi aliran udara di semua corong kecuali pemandu sahaja untuk mengurangkan penggunaan tenaga. 
 


Dari segi kuasa, kedua-dua Ceed Sportwagon dan Xceed PHEV dikuasakan oleh enjin 1.6 liter, sebuah motor elektrik dan pek bateri lithium-polimer berkapasiti 8.9 kWh. 

Kuasa yang dijana daripada gandingan sistem di atas mampu menyalurkan 139 hp dan 265 Nm daya kilas ke roda hadapan menerusi transmisi klac berkembar enam nisbah kelajuan.

Menurut Kia, Ceed Sportswagon PHEV mempunyai jarak operasi sifar emisi sejauh 58 kilometer manakala Xceed PHEV pula sedikit jauh, 60 kilometer.
 


Menggunakan slot pengecasan Wallbox domestik 3.3 kW, masa pengecasan hanya mengambil masa sekitar dua jam 15 minit untuk mencapai kapasiti penuh. 

Harga jualan bagi kedua-dua model Ceed Sportswagon PHEV bermula dari £29,995 (RM159,247) dan £30,695 (RM162,963) untuk Xceed PHEV.