Sebagai makluman, Land Cruiser 200 Series yang diproduksikan antara tahun 2007 hingga 2021 itu masih lagi mempunyai kelompok pengikut yang agak besar, biarpun generasi terbaharu 300 Series sudah pun dilancarkan (dan perlu menunggu sehingga EMPAT tahun).
Kit yang dinamakan sebagai Expedition ini dibangunkan berdasarkan permintaan pelanggan yang datangnya dari Australia dan Timur Tengah.

Ia merangkumi bampar depan off-road kustom dengan gril hadapan yang unik, elemen perlindungan plastik, lampu posisi tambahan diikuti dengan bar LED yang diletakkan atas emblem Toyota.
Selain itu, terdapat juga rekaan bonet baharu dengan liang-liang ventilasi, penambahan fender lebar, tayar all-terrain dengan rim aloi hitam, pemasangan tempat pemijak sisi, serta snorkel.
Di bahagian belakang, terdapat tayar simpanan bersaiz penuh, serta rekaan bampar baharu dengan perlindungan plastik terhadap hentaman batu-batu.

Khann tidak mendedahkan secara terperinci naiktaraf yang dibuat terhadap aspek mekanikal, dan sudah pasti kos untuk naiktaraf ini bukanlah semurah anda menziarah kedai-kedai Abangs.