"(Pengguna) Android memang tiada masalah, tetapi iOS masih lagi menghadapi sedikit masalah dan kita harap dalam hari ini (Jumaat) dapat selesai, jadi saya keluarkan arahan selagi PSP tidak dapat digunakan di MBSP dan MBPP, maka tiada penguatkuasaan saman bayaran parkir.
"Pengguna tidak perlu risau kerana kalau (PSP) tidak dapat berfungsi memang mereka tidak dapat bayar caj letak kenderaan di tapak parkir MBSP dan MBPP, pengguna boleh letak di dalam parkir lot tanpa bayaran dan tiada saman dikenakan," katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Khamis lalu, media melaporkan lebih 3,000 pengguna iOS berdepan kesulitan mengakses aplikasi PSP versi 3.0 selepas pelancaran kemas kini terbaharu yang berpunca daripada ketidakserasian fungsi log masuk biometrik baharu dengan data akaun versi sebelumnya (2.0.6).
H'ng dilaporkan berkata masalah itu berlaku disebabkan kegagalan aplikasi dalam menyelaraskan data pengesahan pengguna yang telah mengemas kini aplikasi mereka melalui Apple Store.
Mengulas lanjut, H'ng berkata pihaknya mengingatkan kepada pengguna jalan raya agar meletakkan kenderaan di tempat parkir yang disediakan dan jangan sesuka hati meletakkan kenderaan mereka kerana penguatkuasaan lain oleh dua pihak berkuasa tempatan (PBT) itu masih diteruskan.
"Jangan ambil kesempatan untuk letak kenderaan di mana-mana sesuka hati kerana memang kita memberi kelonggaran penguatkuasaan, tetapi hanya saman berkaitan kutipan caj parkir, untuk kesalahan-kesalahan lain penguatkuasaan masih berjalan seperti biasa," katanya.