Kami duduk bersama Dr Mohd Nizam Abdullah dari Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia atau National Metrology Institute of Malaysia (NMIM).
NMIM ialah agensi kerajaan di bawah SIRIM yang bertanggung-jawab untuk memastikan segala ukuran yang digunakan di dalam negara mengikut piawaian International System of Units.
NMIM diberi mandat oleh kerajaan untuk memastikan piawaian itu diikuti dan NMIM juga yang menjadi penasihat kerajaan akan isu-isu yang membabitkan pengukuran.
Dalam kes pam minyak ini, Dr Nizam (dua dari kanan) memberikan latar belakang industri akan penyeliaan yang ada untuk pam minyak.
Untuk semua pam minyak di dalam negara, ia akan dipantau oleh Metrology Corp Malaysia atau MCM, sebuah anak syarikat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK).
MCM akan melawat setiap stesen minyak untuk memastikan setiap pam itu memberikan sukatan yang betul. Sebarang kes penipuan akan dilaporkan terus ke KPDNKK.
Teknik-teknik penyukatan dan juga pemeriksaan yang digunakan oleh MCM pula harus diperakui oleh NMIM terlebih dahulu.
Untuk stesen minyak, mereka sepatutnya mempunyai alat menyukat ataupun “prover can”.
Ia adalah tong besi dengan sukatan yang tepat dan diperakui oleh NMIM.
Sekiranya ada pelanggan yang tidak berpuas hati, ujian ketepatan pam boleh dilakukan di situ menggunakan prover can.
