Kes selesai - Pemilik HR-V rosak dapat semula SUV sama seperti baharu

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Facebook pemilik
Pemilik Honda HR-V yang mengalami masalah selepas dihantar ke pusat servis Honda di Terengganu mengesahkan telah menerima kembali kenderaan utiliti sukan (SUV) idamannya dalam keadaaan seperti baharu.

Bercerita kepada UtusanTV, Noriya Mamat, 37, memaklumkan telah menerima kenderaannya kembali itu pada hari Isnin lalu (29 Januari), selepas 16 hari dihantar ke Honda Malaysia bagi mengenal pasti punca kerosakan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Jelasnya, pemeriksaan yang teliti terhadap keretanya telah dilakukan dan pihak Honda mendapati punca kerosakan pada lampu hadapan tidak boleh laras, lampu penunjuk pada papan pemuka berkeli-kelip dan lampu kecemasan menyala adalah disebabkan masalah pada sensor lampu.

“Saya telah menerima Honda HR-V ini dalam keadaan yang baik dan cantik seperti kereta baharu.

“Semua komponen juga telah ditukar dengan alat ganti yang baharu dan saya amat berpuas hati.

“Meskipun besar harapan saya untuk mendapatkan kereta baharu, namun saya menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka selepas perbicangan menyeluruh bersama pihak Honda,” katanya.

Tambahnya, dia meminta tempoh masa seminggu daripada Honda bagi membuat pandu uji terhadap keretanya selepas dibaiki.

“Honda memberikan jaminan pada saya bahawa perkara ini tidak akan berlaku lagi.

“Pihak mereka juga menghubungi saya pada setiap hari bagi mendapatkan perkembangan lanjut sekiranya terdapat perubahan pada kereta,” ujar usahawan ini.

Kata Noriya, dia memanjatkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan warganet yang telah memberikan bantuan dan sokongan kepada dirinya.

 

UtusanTV