Kes Petrol RON95 disyaki tercemar: KPDN Sarawak buka kertas siasatan

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011, susulan kes tular membabitkan petrol RON95 disyaki bercampur diesel atau air di Stesen Petronas Samarahan Expressway di Kota Samarahan, baru-baru ini.

Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin, berkata siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan tular di media sosial, berkaitan insiden berkenaan yang didakwa telah menjejaskan beberapa pengguna.

"Pada 24 Disember lalu kira-kira jam 2.30 petang, sepasukan empat pegawai penguat kuasa KPDN Sarawak menjalankan pemeriksaan ke atas stesen minyak terbabit, susulan aduan yang diterima daripada laman Facebook Sarawak Roads Update.

"Satu Enquiry Paper (EP) telah dibuka di bawah Seksyen 5 (1)(b) Akta Perihal Dagangan 201, Pelanggaran Seksyen 6 (1)(d), daripada kandungan berkenaan dengan apa-apa barang-barang atau bahagian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Matthew berkata tindakan pantas diambil KPDN Sarawak ke atas stesen minyak yang melanggar peraturan yang ditetapkan agar hak pengguna dapat dilindungi.

Beliau berkata, mana-mana peniaga yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan akta berkenaan, termasuk denda sehingga RM250,000 bagi pertubuhan perbadanan dan sehingga RM500,000 bagi kesalahan berulang.

"Bagi bukan suatu pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengedar dan peniaga supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan sedia ada bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan salah laku aktiviti perniagaan boleh menyalurkannya melalui WhatsApp di 019-848 8000, e-mel [email protected], Pusat Panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

Bernama