Kes pelanggaran maut basikal lajak, pemandu dilepaskan dari tuduhan memandu secara melulu

oleh SALINA JALIL|
Mahkamah Majistret, di Johor Bahru, hari ini, melepas dan membebaskan seorang jurujual wanita, daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal, dua tahun lepas.



Majistret Siti Hajar Ali, membebaskan Sam Ke Ting, 24, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.



PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Siti Hajar dalam penghakimannya berkata mahkamah membuat keputusan berkenaan bersandarkan beberapa perkara termasuk situasi jalan berbukit yang gelap dan berselekoh di mana pemandu tidak boleh menjangkakan terdapat kumpulan berbasikal yang ramai di jalan itu pada pukul 3 pagi selain keadaan bahaya itu sendiri dicipta oleh kumpulan basikal lajak tersebut.

 

"Berdasarkan keterangan pasukan penyiasat, terdapat pokok besar di laluan berkenaan dan pencahayaan malap walaupun terdapat lampu di tembok pembahagi jalan.

 

"Aktiviti itu (basikal lajak) sudah umum diketahui di situ (lokasi kejadian), terdapat aduan mengenai perlumbaan basikal lajak di situ.

 

"Adalah munasabah mereka yang lalu di situ akan menjangka situasi terjadi, namun, hanya terpakai kepada penduduk di situ dan mereka yang selalu menggunakan jalan itu.

 

"Ia tidak adil kepada pengguna yang jarang menggunakan jalan itu atau penduduk yang tidak tinggal di situ," katanya.

 

 

 

Menurut Siti Hajar, siasatan turut mendapati tertuduh tidak berada di bawah pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefon bimbit serta memakai tali pinggang keledar ketika memandu sekali gus membuktikan tertuduh memandu dalam keadaan bertanggungjawab dan berjaga-jaga.

 

 

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya menjaga anak-anak bagi mengelak kejadian itu berulang malah pihak polis diminta untuk bertindak tegas berhubung aktiviti berkenaan.

 

 

"Maka bersandarkan kepada alasan-alasan yang saya nyatakan sebentar tadi, jika saya memutuskan tertuduh untuk membela diri, beliau memilih untuk berdiam diri bagi pertuduhan dikemukakan terhadap beliau.

 

 

"Persoalannya adakah saya akan mensabitkan beliau berdasarkan kepada keterangan dikemukakan pihak pendakwaan. Jawapan saya adalah tidak.

 

 

"Dengan itu, tertuduh mesti dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri," kata Siti Hajar.

 

 

Mengikut pertuduhan, Sam, yang memakai baju T berwarna putih didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, secara melulu atau dengan berbahaya hingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada 3.20 pagi, 18 Feb 2017.

 

 

Dia didakwa menyebabkan kematian Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

 

 

Dia dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

 

 

 

Sam terdahulu didakwa di mahkamah sama pada 28 Mac 2017 dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

 

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Faizal Mokhtar.

 

 

Seramai 46 saksi pendakwaan dikemukan sepanjang perbicaraan yang bermula Ogos 2017 dengan 214 eksibit.

 

 

Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh dikembalikan serta merta dan wang jaminan RM10,000 dikembalikan kepada penjamin.

 

 

 

Sumber: Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk P. Ravinthran bersama-sama Datuk Lee Heng…
Berita Domestik
  "Pertama, saya menghormati sistem kehakiman. Biar sistem kehakiman berjalan. Jadi tak elok…
Informasi
  Menurut Public Health Malaysia, basikal yang telah melalui pelbagai modifikasi itu sangat bahaya…