Kes langgar lari Boss Red Bull - Perdana Menteri Thailand tidak puas hati

oleh HEZERI SAMSURI|
Skandal di mana waris empayar Red Bull yang "dilepaskan" dari tuduhan mengakibatkan kematian penunggang motosikal di Bangkok dalam tahun 2012 menjadikan kedudukan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha semakin panas. 
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Vorayuth "Boss" Yoovidhya, 35 tahun, anak kepada Chalerm Yoovidhya yang keluarganya memiliki separuh dari pegangan syarikat Red Bull, telah melanggar sebuah motosikal dengan Ferrari miliknya dan menyebabkan kematian seorang anggota polis. 

Vorayuth yang digelar Boss itu (gambar bawah) menerima tiga pertuduhan tetapi dua darinya telah digugurkan dalam tahun 2017 kerana beliau melarikan diri ke luar negara.

Tuduhan ketiga dan paling berat, iaitu memandu dengan lalai dan menyebabkan kematian, digugurkan oleh pendakwaraya bulan Jun lalu dan ia menyebabkan kemarahan orang ramai.

Ini ditambah lagi dengan keadaan ekonomi Thailand yang merudum teruk akibat pandemik Covid-19. 

 

 

Rakyat Thai yang sebelum ini terpaksa menelan kisah-kisah keluarga kaya dan berkepentingan menerima layanan istimewa menjadikan kes Vorayuth ini sebagai simbol ketidak-adilan yang berlaku di dalam negara tersebut.

Orang awam menyeru polis dan pejabat Peguam Negara untuk mengadakan panel siasatan untuk mengkaji keputusan pengguguran kes tersebut. Perdana Menteri Prayut turut mewujudkan panel penyiasatan beliau sendiri.

Dalam masa huru-hara itu seorang saksi utama di dalam kes itu terbunuh minggu lepas. 

Jaruchart Mardthong terbunuh di dalam satu kemalangan jalanraya di Chiang Mai. Mardthong terbunuh selepas berlanggar dengan sebuah motosikal lain. Dalam kes the Boss, beliau memberitahu penyiasat bahawa Vorayuth tidak memandu dengan laju semasa kemalangan itu berlaku.

Perdana Menteri Prayut mengarahkan ujian post mortem ke atas mayat Mardthong dilakukan sekali lagi.

Vorayuth juga mungkin akan dikenakan satu tuduhan baharu berkaitan penggunaan dadah kerapa menurut laporan polis, ujian darah ke atas Vorayuth menunjukan ada kesan-kesan dadah kokain.

 

 

Minggu lalu, polis memberitahu komiti parlimen bahawa ia tidak menggunakan tuduhan dadah kerana doktor gigi yang merawat Vorayuth ada menggunakan ubat-ubatan yang mengandungi kokain.

Oleh kerana keadaan kes yang semakin merumitkan dan juga menyebabkan kemarahan orang awam yang mahu memboikot minuman Red Bull, Kumpulan TCP Thailand yang memiliki jenama Red Bull Thailand mengumumkan bahawa Vorayuth tidak pernah terbabit dalam pengurusan atau operasi syarikat itu. Vorayuth juga dikatakan bukan pemegang saham syarikat tersebut.

Datuk kepada Vorayuth pernah disenaraikan sebagai orang ketiga terkaya di Thailand. Beliau meninggal dunia dalam tahun 2012 pada usia 88 tahun dan meninggalkan harta berjumlah US$5 billion, menurut majalah Forbes.

Menurut Dr Pareena Srivanit, dekan Fakulti Undang-Undang di Universiti Chulalongkorn, ini ialah kali pertama seorang Perdana Menteri Thailand mewujudkan satu komiti penyiasatan selepas menerima tekanan hebat dari rakyat.

"Ia bukti kekuatan suara rakyat," ujar Pareena yang juga salah seorang dari ahli komiti tersebut.

Awal minggu ini, kes Vorayuth dicadangkan oleh Peguam Negara untuk dibuka bagi membuat siasatan semula.

 

 

Rakyat Thailand sebenarnya sudah lama memendam rasa mengenai ketidak-adilan yang telah lama wujud dalam senario negara itu di mana mereka yang kaya dan berkepentingan boleh "membeli" sistem perundangan.

Sebanyak 10 peratus penduduk Thailand ialah dari golongan elit dan kaya dan mereka memegang 76.6 peratus dari kekayaan negara tersebut.

Ini juga adalah kerana struktur ekonomi oligarki yang diamalkan oleh Thailand.

Akhir-akhir ini, golongan muda Thailand juga kini berani bangkit dan mempersoalkan topik-topik "sensitif" seperti kekuasaan monarki Thailand.

Kes Vorayuth semakin panas bila mereka menggunakannya sebagai bukti ketidak-adilan yang berlaku.

Nampaknya Boss-ku di sana sedang berpeluh mengenang masa hadapannya.

* Laporan asal dari Bangkok Post, Channel News Asia dan The Guardian