Kes kanak-kanak maut, motosikal dirempuh dari belakang, pemandu BMW didakwa

oleh Penyumbang Rencana|
foto kejadian dan tertuduh
Pemandu BMW yang didakwa berkait rakaman video tular menunjukkan sebuah motosikal dirempuh dari belakang sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun pada Jumaat lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada Selasa.
CHERY Omoda 5 MREC Banner Campaign March 2025

Tertuduh, P Kuhan Raj, 31, yang juga peniaga kedai telefon bimbit bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret Haneefa Ariffin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kereta BMW dengan laju sehingga menyebabkan kematian pembonceng motosikal, Nur Naura Nathifa Mohd El-Khuwailid, 7, di Lebuh Raya Bukit Jalil ke Puchong, sekitar jam 9.50 malam 15 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 dan penjara antara lima tahun hingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Salsabila Mohammad, menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tetapi peguam, Inderpal Singh yang mewakili tertuduh, memohon kadar jaminan minimum kerana anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarga.

"Tertuduh menanggung isteri yang juga suri rumah, dua anak masing-masing berusia dua dan empat tahun, serta ibu bapanya yang uzur," kata peguam tertuduh.

Haneefa kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM12,000, selain mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung serta-merta hingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 21 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Siasatan awal mendapati penunggang motosikal berhenti di lorong kecemasan di bawah jejambat untuk…
Berita Domestik
Bagaimanapun kedua-dua mereka dirempuh sebuah kereta lain ketika sedang menukar tayar dan disahkan…
Berita Domestik
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata kejadian pada 10.34 malam itu melibatkan…