Kes Bezza rosak enjin selepas 8 jam dibeli - Peguam berikan penjelasan

oleh Penyumbang Rencana|
Proses penggantian kenderaan baharu kepada Nagakanni Subramaniam selepas Perodua Bezza yang dibelinya yang rosak dalam tempoh lapan jam selepas diserahkan tidak mudah, kata peguam, Asiah Abd Jalil.

Beliau menjelaskan, proses yang perlu dilalui agak panjang kerana membabitkan tiga perjanjian yang telah ditandangani Nagakanni iaitu perjanjian di antara pembeli dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA); perjanjian pembeli dan bank; dan perjanjian pembeli dengan syarikat insurans kereta.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Hal ini kerana, katanya, semua perjanjian itu membabitkan kereta dengan nombor casis dan nombor enjin yang spesifik.

Disebabkan itu, katanya, tidak semudah untuk PERODUA mengganti kereta baharu, memandangkan pinjaman bank untuk kereta yang didakwa dimasuki bahan seperti 'gula' itu perlu ditamatkan, manakala kereta baharu didaftarkan hak milik kepada Nagakanni, seterusnya kereta yang rosak itu dilupuskan.

"Sekiranya PERODUA mendapati bahawa kereta yang 'bergula' itu rosak secara 'major', syarikat insurans akan tampil untuk membuat penilaian. Jika syarikat insurans mendapati kerosakan terbabit menjangkaui pembaikan yang ekonomik, mereka akan mengisytiharkan kereta berkenaan sebagai 'total loss'.

"Selepas itu, syarikat insurans akan membayar keseluruhan baki pinjaman kepada bank untuk kereta yang 'bergula' itu.

"Bagi kereta baharu yang diganti oleh PERODUA, Nagakanni perlu mulakan semula semua proses dari awal. Mohon pinjaman yang baharu, tandatangan perjanjian baharu, pendaftaran dan sebagainya dengan semua ini di bawah nombor casis dan nombor enjin yang baharu," katanya dalam posting di laman Facebook miliknya.

Asiah berkata, terdapat lima komponen yang dilalui dalam pemilikan sebuah kenderaan iaitu 'ascertainment'; sewa beli; 'merchantable quality'; waranti dan jaminan; serta pemindahan risiko.

"Jual beli kereta dikawal selia oleh undang-undang kontrak dan Akta Jualan Barangan. Apabila perjanjian jual beli ditandatangani oleh PERODUA dengan pembeli, kemudiannya kereta dengan nombor casis dan nombor enjin didaftarkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bawah nama pembeli, proses 'ascertainment' berlaku.

"Ia menyebabkan kereta dengan nombor casis dan nombor enjin yang unik tersebut, kini berpindah hak kepada pembeli secara sepenuhnya. 'Ascertainment' ini menyebabkan pembeli sudah tidak boleh tukar kereta yang telah dimuktamadkan," katanya.

Untuk komponen sewa beli, beliau berkata, sebagai kebiasaannya pembeli akan bayar deposit sekurang-kurangnya 10 peratus daripada harga kereta, manakala baki 90 peratus melalui pinjaman bank.

Justeru, katanya, pembeli akan menandatangani perjanjian sewa beli dengan dengan bank akan membayarkan baki harga kereta itu kepada PERODUA, dan kemudiannya menyewakannya kepada pembeli.

"Setiap bulan pembeli akan buat bayaran ansuran kepada bank. Seolah-olah pembeli sedang menyewa kereta ini daripada pihak bank. Kelak jika pembeli selesai membuat bayaran penuh pinjaman kepada bank, kereta ini dianggap telah selesai dibeli. Bank akan melepaskan ikatan kereta ini," katanya.

Bagi komponen 'merchantable quality', Asiah berkata, apabila pembeli membeli kereta baharu, undang-undang menetapkan bahawa kereta itu mestilah mempunyai 'merchantable quality' sebagaimana kereta yang baru keluar dari kilang.

"Kereta baharu tidak sama dengan kereta terpakai. Kereta baharu mestilah tiada 'defects' dan tiada masalah. Pengguna berhak untuk menjangkakan bahawa kereta baharu mestilah sama kualiti dengan kereta baharu yang lain," katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya dalam setiap perjanjian jual beli untuk barang baharu, akan ada waranti atau jaminan membabitkan produk rosak atau 'defective product'.

"Biasanya mempunyai had masa atau had tertentu. Contohnya, jaminan terhadap kereta dalam tempoh enam bulan selepas dibeli atau 5,000 kilometer (km), yang mana lebih dahulu. 'Defects' boleh timbul semasa mereka bentuk, pengeluaran atau pemasaran.

"Sama ada 'defects' ini disengajakan atau tidak, diketahui atau tidak, penjual mesti menanggung liabiliti dan menggantikan barang yang rosak ini," katanya.

Untuk komponen pemindahan risiko, katanya, semasa penjual menyerahkan kereta secara fizikal, pembeli perlu membuat pemeriksaan terlebih dahulu untuk memastikan tiada kerosakan.

"Sebaik sahaja penyerahan fizikal selesai, risiko terhadap kereta itu kini berpindah kepada pembeli. PERODUA sebagai penjual telah selesai tanggungjawabnya kecuali tanggungjawab waranti dan jaminan," katanya.

Asiah yang memiliki firma guaman berpangkalan di Kuantan turut membuat analisis undang-undang terhadap kes yang dihadapi Nagakanni.

"Setelah lapan jam mengambil kereta, enjin kereta itu tidak dapat dihidupkan. Didapati enjin telah rosak kerana dikatakan ada bendasing seperti gula dalam enjin. Kereta ini masih dalam waranti atau jaminan, justeru, PERODUA wajib membaiki kereta itu tanpa sebarang kos.

"Apa kedudukan sebenar di sisi undang-undang dalam kes Nagakanni? Gula dalam enjin, jelas ia bukan kesalahan Nagakanni. Ia adalah 'product defects' yang mustahil boleh diketahui oleh Nagakanni semasa kereta diserahkan.

"Sekiranya PERODUA mendapati kerosakan enjin adalah major, maka kereta itu tidak mempunyai 'merchantable quality'. Oleh itu, PERODUA wajib mengganti kereta baharu kepada Nagakanni. Namun, ada beberapa isu yang perlu diselesaikan membabitkan komponen 'ascertainment dan jual beli," katanya.

Terdahulu dilaporkan bahawa kegembiraan seorang kerani memiliki Perodua Bezza yang baru dibeli, bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kereta itu rosak dalam tempoh tidak sampai lapan jam.

Lebih malang, Nagakanni terpaksa membayar pinjaman bulanan 'kereta baharunya' itu sebanyak RM537 sebulan, walaupun kenderaan itu kini tersadai di pusat servis.

Nagakanni dilaporkan berkata beliau membeli kereta itu dari sebuah pusat jualan kenderaan di Segamat, jam 11 pagi, pada 17 Oktober lalu.

Beliau berkata, kira-kira lapan jam kemudian ketika mahu menghidupkan kereta pada jam 7.40 malam, kenderaan itu tidak dapat dihidupkan.

Selepas masalah itu tular di media sosial, PERODUA memberi jaminan untuk mengutamakan kes Nagakanni dan komunikasi antara kedua-dua pihak sudah bermula sejak Oktober.

Sejak itu, PERODUA telah mengambil beberapa langkah untuk menyelesaikan isu terbabit termasuklah dengan menawarkan kereta sementara untuk digunakan serta menawarkan pilihan untuk membeli semula kereta berkenaan.

Mengulas mengenai situasi kedua-dua pihak, Asiah berpendapat, PERODUA tidak melakukan apa-apa yang bertentangan dengan undang-undang dan telah menguruskan aduan Nagakanni sebagaimana proses yang diperlukan.

"Dua bulan bukanlah tempoh yang tidak wajar. Untuk pihak insurans buat penilaian, isytihar 'total loss' dan buat pembayaran kepada bank, minimum masa yang diambil ialah empat bulan ke atas," katanya.

 

- ini bukan kes pertama di mana pembeli memohon untuk mendapatkan kereta baharu, penulis sendiri pernah mengalaminya dan prosesnya remeh dan mengambil masa berbulan-bulan  tetapi akhirnya berjaya mendapat sebuah kereta baru, serta nombor plat baharu juga. -

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Hezeri Samsuri
Ini sudah mula dirasakan oleh Eropah di mana Kesatuan Eropah (EU) mula mempersoalkan harga-harga…
Berita Domestik
Bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan berkata, kereta PROTON dan PERODUA menjadi pilihan…
Berita Domestik
Menurut beliau, Perodua telah membangunkan sebuah prototaip berkuasa elektrik hasil kerjasama…