Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, DSP Shaifulizan Sulaiman, berkata reman bagi pemandu Myvi berusia 20 tahun itu dikeluarkan Majistret Tan Chai Wei di Mahkamah Majistret Rembau, di sini bermula hari ini sehingga 14 Februari.
Lelaki berkenaan yang memakai kemeja-T dan berseluar pendek berwarna hitam tiba di mahkamah pada kira-kira 9.30 pagi, diiringi anggota polis.
Semalam, rakaman video kejadian berkenaan yang berdurasi 59 saat, tular di media sosial Facebook dan mendapat perhatian ramai netizen.
Dalam kejadian pada 3.21 petang di kilometer 235.5 lebuh raya PLUS, berhampiran Senawang, seorang kanak-kanak lelaki nyaris maut selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dinaiki bersama keluarga yang hilang kawalan selepas dihimpit sebuah kenderaan.
Susulan rakaman video berkenaan, pemandu Perodua Myvi yang dipercayai menghimpit kenderaan berkenaan, ditahan di Batu Berendam, Melaka, kira-kira pukul 4.50 petang, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon yang meluangkan masa melawat kanak-kanak itu, S Tisshaaanth, yang kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban berkata mangsa berada dalam keadaan stabil dan hanya mengalami kecederaan luaran.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan menyumbang kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) serta bantuan kewangan kepada keluarga mangsa.
“Yang penting (dalam insiden ini) ialah (penggunaan) CRS. Sekiranya mereka menggunakan CRS, memang insiden seperti ini tidak akan berlaku dan saya harap dengan insiden ini, orang ramai akan mula mematuhi undang-undang penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak,” katanya.
Sementara itu, bapa kanak-kanak malang itu K Satthiaseelan, 33, ketika menceritakan detik cemas berkenaan berkata ketika kejadian, beliau yang berada di lorong kanan lebuh raya terbabit, mendapat isyarat lampu daripada pemandu kereta Honda Jazz di belakang kenderaannya, yang diikuti rapat sebuah Perodua Myvi.
“Ketika mahu ke tepi, secara tiba-tiba terdapat sebuah Perodua Myvi yang datang dari lorong paling kiri terus ke lorong paling kanan dan melanggar bahagian kiri belakang kereta.
“Saya tidak dapat berbuat apa-apa dan melanggar pembahagi jalan,” katanya.
Susulan itu katanya, Tisshaaanth tercampak keluar daripada kereta melalui cermin sisi (sebelah penumpang) yang pecah sebelum dia memberhentikan keretanya serta merta di lorong tengah untuk mencari anaknya.
“Saya ternampak anak berada di tengah jalan, jadi saya terus berlari mendapatkannya,” katanya yang menetap di Taman Cempaka, Rantau.
Beliau yang bekerja di kilang perabot di Jalan Pantai, Seremban turut berterima kasih dengan pertolongan yang diberikan semua pihak termasuk pemandu lori yang telah memberhentikan kenderaan dan keluar menyelamatkan anak lelakinya.
- BERNAMA