Kerusi keselamatan kanak-kanak TANPA piawaian adalah ‘pembunuh’!

oleh SALINA JALIL|
Tawaran harga serendah RM18 seunit bagi kerusi keselamatan kanak-kanak mudah alih mendorong ibu bapa membelinya tanpa menyedari risiko penggunaannya jika kelengkapan itu tidak memenuhi ciri-ciri keselamatan.


Mereka membelinya dari kedai aksesori atau membuat pesanan dalam talian selepas mengetahui penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) diwajibkan dalam kenderaan bagi semua kanak-kanak bawah ketinggian 135 sentimeter (cm), berkuat kuasa 1 Januari ini.

 

Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada tahap perlindungan keselamatan pada kerusi mudah alih itu memenuhi ciri-ciri ditetapkan pihak berkuasa atau sebaliknya.

 

Ini berikutan ada produk dikesan tidak menepati piawaian, tetapi dijual secara berleluasa dalam talian.

 

Tinjauan promosi dalam talian oleh Berita Harian mendapati ada kerusi kereta mudah alih terbabit yang mudah dipasang dan boleh dibawa sebagai beg sandang, dikatakan berkualiti tinggi dan selamat digunakan walaupun tiada tanda kelulusan piawaian oleh mana-mana pihak.

 

 

Selain digunakan dalam kereta, kerusi keselamatan kanak-kanak yang mempunyai lima tempat pengikat itu dikatakan boleh digunakan di meja makan dalam rumah kerana menggunakan span yang boleh dilaraskan.

 

Berdasarkan spesifikasi diberikan penjual, kerusi keselamatan mudah alih itu boleh digunakan terhadap bayi seawal usia enam bulan sehingga kanak-kanak berusia tujuh tahun.

 

Semakan Berita Harian ke atas sebuah portal beli-belah dalam talian mendapati, pengedar tempatan dan luar negara bagi CRS menawarkannya pada harga serendah RM18 hingga RM39.90 seunit.

 

Ada juga pengedar menjualnya pada harga antara RM20 hingga RM60 seunit dengan ciri-ciri kelengkapan dipromosikan hampir sama.

 

 

Susulan tawaran harga terbabit, seorang penjual kerusi keselamatan berkenaan merekodkan hampir 3,000 jualan dalam tempoh yang singkat.

 

Pengarah Operasi Persatuan Keselamatan Kanak-Kanak Malaysia (CPSM), Jchanet Tan, berkata penjualan CRS tidak mengikut piawaian dikhuatiri boleh mengancam nyawa kanak-kanak, sekali gus menggagalkan matlamat kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan itu.

 

Beliau menyifatkan kerusi keselamatan tanpa piawaian sebagai ‘pembunuh’ golongan berkenaan kerana ia berisiko menyebabkan mereka tercampak apabila berlaku perlanggaran.

 

“Penggunaannya sama seperti kanak-kanak terbabit tidak memakai sebarang kelengkapan keselamatan kerana tiada daya penahan. Kerusi keselamatan mudah alih yang tidak mematuhi piawai keselamatan, tidak patut sama sekali digunakan dalam kereta.

 

“Ini kerana CRS itu dicipta untuk penggunaan di meja makan, namun penjual yang kononnya ‘kreatif’ memasarkannya sebagai CRS,” katanya.

 

 

Katanya, usaha membendung aliran ini termasuk kempen kesedaran harus dijalankan supaya ibu bapa mendapat mesej yang jelas berhubung penggunaan CRS.

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pada Oktober lalu, mengumumkan kerajaan menetapkan CRS diwajibkan dalam kenderaan bagi penggunaan semua kanak-kanak bawah ketinggian 135 sentimeter (cm), bagi memastikan keselamatan mereka jika terbabit kemalangan.

 

Sementara itu, Pengurus Kanan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin, menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan terhadap penjualan CRS yang terbukti tidak selamat.

 

Beliau berkata, pihaknya khuatir penjualan CRS tidak menepati piawaian, termasuk versi mudah alih itu boleh memberi mesej salah kepada ibu bapa yang terus membeli tanpa berfikir panjang.

 

“Iklan berhubung penjualan CRS mudah alih ini sudah berleluasa. Ia sangat bahaya kerana berupaya mengancam nyawa kanak-kanak apabila berlaku hentaman kerana kita yakin kesannya lebih teruk.

 

“Justeru, perlu ada usaha menghalang penjualan kerusi mudah alih seperti ini yang kini menjadi ‘trend’,” katanya.

 

Hentikan jualan atas talian CRS tak ikut standard

 

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengesahkan kerusi kanak-kanak mudah alih yang dijual berleluasa di portal beli-belah tidak diklasifikasikan sebagai kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS).

 

Ketua Pengarahnya, Dr Siti Zaharah Ishak, berkata pemasangan kerusi kanak-kanak seumpama itu tidak selamat dan tidak mematuhi standard ditetapkan Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

 

Justeru, katanya, tindakan segera perlu diambil, termasuk menghentikan penjualan produk itu di pasaran kerana ia ternyata boleh mengelirukan pengguna.

 

“Ia bukan kerusi keselamatan kerana ia tidak mempunyai daya tahan terhadap kanak-kanak, namun sekarang kita tiada undang-undang untuk dikuatkuasakan.

 

“Apabila undang-undang ini dilaksanakan nanti, mungkin kita boleh ambil tindakan untuk mereka hentikan daripada pasarkan. Memang kita kata akan ambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas pada Julai (berhubung pemasangan CRS).

 

 

“Tetapi kalau kita lihat secara nyata, produk ini tidak selamat. Perkara ini boleh diambil tindakan segera. Kena wujudkan kerjasama antara kementerian untuk menjalankan penguatkuasaan,” katanya kepada BH, di sini.

 

Siti Zaharah berkata, MIROS turut menjalankan inisiatif dengan menjalinkan kerjasama dengan portal beli-belah dalam talian untuk mendapatkan data berhubung jualan CRS sama ada ia mematuhi standard atau sebaliknya.

 

“Contohnya, melalui kerjasama dengan sebuah portal beli-belah dalam talian sebelum ini, kita berikan mereka video dan maklumat berhubung kesedaran menggunakan CRS yang mematuhi piawaian supaya pembeli sedar akibatnya,” katanya.

 

Kerajaan tetap teruskan penguatkuasaan 1 Januari

 

Kementerian Pengangkutan akan meneruskan penguatkuasaan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) bermula 1 Januari ini meskipun tahap kesedaran terhadap penggunaannya masih rendah dalam kalangan ibu bapa.

 

Timbalan Menterinya, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata penguatkuasaan itu juga antara inisiatif untuk memberi kesedaran dan pendidikan kepada pengguna jalan raya berhubung kepentingan penggunaan CRS.

 

“Bagi tempoh enam bulan pertama, penguatkuasaan akan dijalankan, tetapi lebih kepada pendidikan dan kesedaran. Tiada saman dikeluarkan dalam tempoh berkenaan.

 

“Tujuan utama penguatkuasaan peraturan ini bukan untuk mengeluarkan saman, sebaliknya ia bagi memberi kesedaran supaya pengguna jalan raya menggunakan CRS demi keselamatan anak mereka,” katanya kepada BH, di sini.

 

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penggunaan CRS di dalam kenderaan akan diwajibkan bermula 1 Januari ini bagi menyelamatkan bayi dan kanak-kanak daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

 

Langkah baharu itu susulan statistik membimbangkan, iaitu 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari 2007 hingga 2017.

 

Pada masa sama, Kamarudin berkata, dasar dilaksanakan ini adalah untuk melindungi bayi dan kanak-kanak demi mengurangkan impak ketika kemalangan.

 

“Pemakaian CRS ini hak anak kita dan sebagai ibu bapa, kita perlu menunaikan hak mereka. Sokongan pihak media juga penting dalam membantu pihak kerajaan melaksanakan dasar ini dengan berkesan,” katanya.

 

Kamaruddin berkata, pihaknya mendapati ada peningkatan terhadap kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan pengguna jalan raya dan tempoh enam bulan pertama tahun depan akan digunakan sebaiknya untuk mengukuhkan kefahaman itu.

 

 

 

Sumber: Berita Harian

crs

Add new comment

banner articles

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia mengulas, “Terdapat keperluan untuk kita…
Berita Domestik
  “Pemantauan akan dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (…
Berita Domestik
  “Selepas 1 Januari, produk-produk yang masuk pasaran mesti memenuhi piawaian sebab kebanyakan…