"Kereta TikTok" bakal lancar tahun ini - Hasil kerjasama Seres dan ByteDance

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Pasaran automotif China bakal menyaksikan kemunculan satu lagi jenama baharu yang menarik perhatian apabila Seres Group dilaporkan sedang bersedia melancarkan model pertama di bawah jenama baharu yang dibangunkan bersama syarikat induk TikTok, ByteDance.

Jenama tersebut akan beroperasi di bawah syarikat baharu yang dikenali sebagai Saidou Technology, sebelum ini dikenali sebagai Chongqing Landian Technology.

Penjenamaan semula itu berlaku selepas satu proses penstrukturan semula korporat berskala besar yang melibatkan suntikan modal bernilai 6.67 bilion yuan (sekitar RM4 bilion) daripada beberapa pelabur utama termasuk dana pelaburan kerajaan daerah Shapingba di Chongqing, subsidiari CATL iaitu Wending Investment, Bojun Technology dan Xingyu Shares. 

Hasil daripada transaksi tersebut, Seres tidak lagi menjadi pemegang saham terbesar apabila pegangan syarikat itu dikurangkan kepada sekitar 32.96 peratus, manakala platform pelaburan milik kerajaan Shapingba kini memegang 34.50 peratus saham dan menjadi pemegang kepentingan terbesar.

Langkah itu dilihat sebagai usaha Seres untuk memperkemaskan struktur aset syarikat dan mengasingkan perniagaan lama yang kurang menguntungkan daripada laporan kewangan kumpulan. 

Pada masa sama, ia membuka laluan kepada pembangunan sebuah jenama automotif generasi baharu yang lebih memfokuskan kepada teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Menurut laporan industri, Saidou Technology dijangka melancarkan model pertamanya sebelum penghujung tahun ini. 

Model tersebut dikatakan hadir dalam bentuk crossover yang menggabungkan elemen SUV dan sedan, serta akan ditawarkan dalam dua pilihan trenkuasa iaitu elektrik sepenuhnya (EV) dan range extender (EREV). 

Pengeluarannya akan dilakukan di kilang Phoenix milik Seres yang kini sedang menjalani proses naik taraf bagi menampung pengeluaran model baharu tersebut.

 

2

 

Apa yang membezakan jenama itu daripada model-model Seres sedia ada ialah fokus besar terhadap pengalaman pengguna berasaskan AI. 

Jika jenama Aito menggunakan sistem pemanduan pintar Huawei Qiankun, Saidou pula akan memanfaatkan teknologi AI daripada Volcano Engine, platform awan dan kecerdasan buatan milik ByteDance. 

Sistem itu dijangka menawarkan kokpit pintar generasi baharu dengan integrasi model bahasa besar (Large Language Model) yang mampu memberikan interaksi lebih semula jadi antara pengguna dan kenderaan.

Walaupun Volcano Engine menyediakan teknologi AI dan infrastruktur awan, syarikat itu menegaskan bahawa mereka tidak bercadang untuk terlibat dalam pembangunan teknologi pemanduan autonomi. 

Sebaliknya, fokus utama adalah kepada pengalaman digital dalam kabin, sambungan awan dan perkhidmatan pintar yang lebih canggih.

Jenama Saidou turut disasarkan kepada golongan pengguna muda dan aktif yang lebih mesra teknologi, di mana ia akan mempunyai rangkaian jualan tersendiri untuk pasaran domestik China serta pasaran antarabangsa. 

Strategi itu dilihat sebagai perubahan besar berbanding jenama Landian sebelum ini yang sukar menembusi segmen kenderaan mampu milik antara 100,000 hingga 150,000 yuan (RM58,900 hingga RM87,900).

Menariknya, kemunculan Saidou bukanlah satu-satunya jenama baharu yang bakal diperkenalkan oleh pengeluar automotif China tahun ini. 

Beberapa syarikat lain seperti Leapmotor dan Xiaomi juga dilaporkan sedang merancang pelancaran sub-jenama masing-masing bagi memperluaskan portfolio produk mereka.

Bagi Seres, langkah itu hadir pada waktu yang tepat apabila jualan kenderaan tenaga baharu syarikat itu terus menunjukkan pertumbuhan positif. 

Pada Mei 2026 sahaja, Seres merekodkan jualan sebanyak 33,476 unit, manakala jumlah jualan terkumpul bagi tempoh Januari hingga Mei mencecah 145,108 unit, meningkat 15.14 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jika semuanya berjalan mengikut perancangan, “kereta TikTok” itu berpotensi menjadi salah satu pelancaran paling menarik dalam industri automotif China tahun ini. 

Bukan sahaja kerana kaitannya dengan ByteDance dan TikTok, tetapi juga kerana ia bakal membawa pendekatan baharu terhadap penggunaan kecerdasan buatan dalam pengalaman pemilikan kenderaan moden.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Berdasarkan laporan Carscoops.com , sistem ini direka untuk disembunyikan di bawah tempat duduk…
Berita Global
Syarikat itu memfailkan permohonan penyenaraian pada 28 April, dan menerima kelulusan pada 13…