Kereta suapandu bakal jadi pusat pelacuran bergerak

oleh HEZERI SAMSURI|
Kajian terbaharu mendapati kenderaan suapandu akan menyebabkan lebih banyak perhubungan seks di dalam kenderaan.

Menurut jurnal Annals of Tourism Research, kenderaan robot yang boleh memandu dengan sendiri akan menyebabkan lebih ramai tidur, makan dan melakukan maksiat di dalam kenderaan tersebut.

Hasil kajian jurnal tersebut dilaporkan oleh NYPost.com dan menurut Scott Cohen, ketua kumpulan kajian tersebut, penumpang yang tidur di dalam kereta suapandu akan menjejaskan perniagaan hotel-hotel kecil di tepian laluan utama.

"Dan oleh kerana penumpang tidak lagi memandu, jangan terkejut jika ada kenderaan suapandu dijadikan restoran bergerak," terangnya.

"Itu yang menyebabkan kami terfikir, selain dari makan dan tidur, apakah lagi aktiviti yang boleh dilakukan oleh penumpang di dalam kereta jika mereka tidak memandu? Kaitan kenderaan dan hubungan seks bukan satu perkara baharu," ujar Cohen yang juga seorang pengarah kajian di School of Hospitality and Tourism Management di University of Surrey, England.

Laporan itu juga berkata kenderaan suapandu boleh menyebabkan gejala pelacuran di dalam kenderaan.

"Sekarang pun ada banyak kegiatan maksiat dan salah di sisi undang-undang berlaku di dalam kereta," kata Cohen lagi.

Kajian itu juga berkata 60 peratus dari rakyat Amerika pernah membuat hubungan seks di dalam kereta dan ia menjangkakan hubungan seks di dalam kenderaan suapandu akan menjadi meluas menjelang 2040.

*Laporan asal di NYPost.com

 

Add new comment

Careta Ad