Kereta sport melebihi 1.8 Tan adalah ‘Mediocre’ - CEO Lotus

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Ketua Pegawai Eksekutif Lotus, Feng Qingfeng, mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat automotif selepas menyatakan bahawa mana-mana kereta sport yang mempunyai berat melebihi 1.8 tan boleh dianggap sebagai “mediocre” atau biasa-biasa sahaja.

Kenyataan itu dibuat ketika satu sesi media baru-baru ini dan pantas menjadi tular di platform media sosial China, terutamanya kerana majoriti model elektrik Lotus sendiri sebenarnya melebihi had berat yang disebutkan.

Menurut Feng, Lotus menetapkan penanda aras baharu untuk kereta sport masa depan mereka dengan sasaran berat di bawah 1.8 tan. 

Beliau menegaskan bahawa dalam era elektrifikasi, angka kuasa kuda yang tinggi bukan lagi sesuatu yang sukar dicapai, sebaliknya cabaran sebenar adalah menghasilkan sebuah kereta yang ringan dan menyeronokkan untuk dipandu.

Malah, beliau turut menyatakan bahawa sebuah kereta dengan kuasa sehingga 2,000 hp sekalipun masih boleh dianggap “mediocre” sekiranya beratnya melebihi 1.8 tan kerana ia akan memberi kesan negatif kepada pengendalian dan dinamik pemanduan.

 

2

 

Walaupun falsafah tersebut selari dengan DNA Lotus yang terkenal dengan prinsip “simplify, then add lightness” yang diasaskan oleh Colin Chapman, kenyataan Feng secara tidak langsung mengundang kritikan kerana hampir keseluruhan barisan model elektrik dan hibrid plug-in Lotus ketika ini gagal memenuhi standard yang beliau sendiri tetapkan.

Sebagai contoh, hypercar elektrik Lotus Evija yang menghasilkan lebih 2,000 hp mempunyai berat sekitar 1,894 kg, melepasi had 1.8 tan yang disebutkan. 

Keadaan lebih ketara pada model Emeya dan Eletre, dengan masing-masing mencatatkan berat sekitar 2,455 kg dan 2,600 kg, sementara varian Eletre X pula mencecah sehingga 2,625 kg. 

Ini bermakna model-model yang dipasarkan Lotus sebagai “Hyper-GT” dan “Hyper-SUV” juga secara teknikalnya termasuk dalam kategori yang dianggap kurang ideal berdasarkan definisi CEO syarikat itu sendiri.

Satu-satunya model Lotus yang benar-benar memenuhi standard tersebut ialah Emira, kereta sport berenjin pembakaran dalaman itu mempunyai berat sekitar 1,460 kg dan kekal sebagai model paling ringan dalam portfolio Lotus ketika ini. 

 

3

 

Secara berseloroh, pengguna media sosial menyatakan bahawa Emira kini menjadi satu-satunya “kereta sport sebenar” dalam keluarga Lotus, manakala model lain hanya sekadar kenderaan berprestasi tinggi yang terlalu berat.

Walau bagaimanapun, ramai pemerhati industri percaya kenyataan Feng sebenarnya memberi petunjuk awal mengenai hala tuju produk Lotus pada masa hadapan. 

Ini kerana syarikat tersebut baru-baru ini mengesahkan pembangunan sebuah supercar baharu yang menggunakan enjin V8 bersama sistem hibrid plug-in dan dijadualkan dilancarkan pada tahun 2028. 

Besar kemungkinan model itu akan dibangunkan dengan sasaran berat di bawah 1.8 tan bagi membuktikan bahawa Lotus masih mampu menghasilkan kereta yang mengekalkan karakter pemanduan tulen walaupun dalam era elektrifikasi.

Apa yang pasti, kenyataan Feng Qingfeng sekali lagi menghidupkan perdebatan lama dalam dunia automotif, adakah kuasa yang tinggi sudah mencukupi untuk menjadikan sesebuah kereta itu hebat, atau berat yang rendah masih kekal sebagai faktor paling penting dalam menghasilkan pengalaman pemanduan yang benar-benar istimewa?

 

Sumber: CarNewsChina

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Kali terakhir Lotus menggunakan enjin V8 adalah menerusi Esprit sebelum pengeluarannya ditamatkan…
Berita Global
  Sepanjang tahun 2024, Lotus Tech mencatatkan jumlah penghantaran sebanyak 12,134 unit,…
Berita Global
Dalam perkembangan terkini, pengeluar jenama Britain yang kini dimiliki oleh Geely itu mengumumkan…