Sistem itu yang merupakan satu daripada ciri khidmat dalam talian Škoda Connect memberikan amaran tentang keadaan jalan yang teruk di depan.
Bukan setakat jalan di depan, sistem juga akan memberi amaran sekiranya pemandu berada di dalam kawasan jalan raya dengan permukaan teruk.
Apabila dapat tahu mengenainya, pemandu boleh berhati-hati dan jimat duit daripada membaiki rim, tayar atau komponen yang rosak.
Bagaimana sistem berfungsi? Škoda memperolehi manfaat memandangkan syarikat berada dalam Kumpulan Volkswagen.

Škoda Connect mengumpul data daripada jutaan kenderaan Kumpulan Volkswagen di UK dan Eropah melalui tiga sensor.
Maklumat jalan dikumpul dalam tempoh setiap perjalanan daripada meter pecutan, ABS dan sensor geseran.
Dari situ, sistem akan mengukur corak pecutan dan pembrekan kereta dan mengira geseran di antara tayar dan permukaan jalan berdasarkan gelinciran roda.
Maklumat teragregat itu dihantar dan dikumpul di dalam storan awan daripada kereta yang terhubung melalui sistem dalam talian Škoda Connect.

Maklumat itu juga dipadankan dengan metadata (set data) seperti maklumat cuaca atau pengukuran sebelumnya.
Peta tiga dimensi kemudiannya dijana bersekali dengan amaran dan dihantar kepada kenderaan.
Maklumat itu dipaparkan pada skrin papan pemuka apabila pemandu menghampiri kawasan yang mempunyai permukaan jalan yang teruk.
Teknologi pintar itu membolehkan analisa yang tepat dilakukan dan membantu membina sistem pembelajaran kendiri seterusnya mencegah kerosakan pada kereta.

Nampak ringkas dan konsep asas ialah supaya pemandu berhati-hati memandu di kawasan 'jerangkap samar'.
Secara kesimpulannya teknologi ini menggunakan data yang dikumpul dari kenderaan, menyimpan, memproses dan menghantar kepada pemandu.
Škoda Connect ditawarkan di dalam pelbagai model Škoda seperti Enyaq iV, Fabia, Kamiq, Karoq, Kodiaq, Octavia, Scala dan Superb.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
Nota: Tinjauan melibatkan 2,000 pemandu UK dijalankan pada Mac 2023 oleh OnePoll.
