Kereta rosak di lebuh raya, wanita maut dilanggar lori

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG wanita maut selepas dirempuh sebuah lori ketika menunggu di luar keretanya yang rosak di Kilometer 235.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Kuala Kangsar pagi tadi.

Mangsa B. Karthigayayini maut di tempat kejadian dalam kejadian sekitar jam 5.20 pagi itu.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.23 pagi. 

"Sebuah lori kontena dipercayai melanggar bahagian sisi sebuah kereta jenis Honda Civic yang berhenti di bahu jalan, lori itu telah melanggar seorang wanita yang ketika itu berada di sisi luar kenderaan berkenaan.

Keadaan mangsa

"Mangsa disahkan maut oleh pegawai perubatan hospital manakala tiga mangsa lagi iaitu pemandu lori dan dua lelaki dari kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya. 

Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Saiful Hanif Mahmad Ayub itu tamat pada jam 6.02 pagi.