Katanya, wanita terbabit memaklumkan dia menggunakannya kenderaan berkenaan sejak minggu lalu selepas dipinjamkan oleh ahli keluarganya.
“Wanita itu memaklumkan bahawa kenderaan itu merupakan hadiah hari jadi kepada ibu mereka, yang dibeli abangnya yang menetap di Singapura,” katanya.
Terdahulu, kenderaan berwarna perak itu ditahan kira-kira jam 7 malam selepas didapati melakukan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
“Hasil semakan lanjut mendapati jenis dan model kenderaan tersebut tidak sepadan dengan maklumat yang direkodkan di dalam sistem MySikap.
“Pemeriksaan terhadap nombor casis dan nombor enjin turut mendapati tiada rekod pendaftaran sah bagi kenderaan berkenaan, sekali gus menimbulkan syak bahawa ia adalah sebuah kenderaan klon,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hamidi berkata, pihaknya mengeluarkan Notis Saman P22 serta menyita kenderaan itu mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.
Selain itu, katanya, antara kesalahan dikenal pasti ialah menggunakan kenderaan tidak berdaftar mengikut Seksyen 7(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kereta itu yang turut mempamerkan nombor pendaftaran bukan kepunyaan sendiri, disiasat mengikut Seksyen 108(3)(f) akta sama.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 90(1) akta berkenaan kerana kesalahan tiada perlindungan insurans.
“Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa memastikan status pemilikan dan pendaftaran sesebuah kenderaan disemak terlebih dahulu sebelum membeli, menggunakan atau menerima kenderaan daripada mana-mana pihak bagi mengelakkan terbabit dengan kesalahan berkaitan kenderaan klon,” katanya.