
Di Eropah, piawaian keselamatannya tinggi dan ketat yang memaksa pengeluar tunduk kepada saranan badan keselamatan seperti Euro NCAP selain peraturan oleh pihak berkuasa.
Terbaru Euro NCAP mengumumkan keputusan lima buah kereta yang telah menjalani pusingan ujian keselamatan terkini.
Menariknya, lima kereta tersebut mempunyai nadi berbeza iaitu Lynk & Co 01 (hibrid) NIO ES8 dan Audi Q4 e-tron (elektrik bateri), Toyota Mirai, (sel bahan bakar hidrogen/hydrogen fuel cell) dan Subaru Outback (enjin konvensional).
Kesemua kereta tersebut berjaya melepasi ujian dengan cemerlang dan menerima skor lima bintang.

Dari lima model dua daripadanya ialah jenama China yang dijual di Eropah iaitu Lynk & Co 01 dan NIO ES8.
Seperti yang dinyatakan di atas, kedua-dua model memperolehi skor lima bintang dan membuktikan ketelusan pengeluarnya.
Lynk & Co adalah jenama China dan Sweden yang dimiliki oleh Geely Automobile Holdings Limited. Model 01 berkongsi beberapa komponen dengan Volvo XC40.
SUV 01 cemerlang dengan skor 96 peratus untuk perlindungan penumpang dewasa dan markah maksimum bagi impak sisi.
Digabungkan dengan sejumlah ciri keselamatan aktif, 01 layak untuk memperolehi skor lima bintang.

Sebuah lagi model buatan China ialah NIO ES8. Model elektrik dengan enam atau tujuh tempat duduk ini bagus dari segi kelengkapan keselamatan aktif.
Sistem brek kecemasan autonomi ES8 memperolehi skor cemerlang dan bersama fungsi pencegahan kemalangan lain melayakkannya untuk menerima 98 peratus markah dalam kategori Bantuan Keselamatan.
Untuk memasuki pasaran Eropah dan kekal relevan, tidak dapat tidak pengeluar harus telus mengenai kelengkapan keselamatan dan keberkesanannya.
Memperolehi markah yang baik di dalam Euro NCAP dapat membantu sesebuah jenama menaikkan kebolehpercayaannya di kalangan pengguna bukan sahaja di Eropah tetapi juga di peringkat global.
Lebih dahulu mencipta nama di Eropah ialah jenama Jepun seperti Subaru dan Toyota.

Untuk ujian terbaru ini, Subaru Outback cemerlang dalam kategori Bantuan Keselamatan dengan 95 peratus markah.
Seperkara yang menarik ialah Outback dan NIO ES8 dilengkapi sistem keselamatan yang mampu mengesan tanda-tanda keletihan secara terus melalui pergerakan mata pemandu dan corak pergerakan stereng.
Sistem seterusnya akan menghantar amaran supaya pemandu berhenti berehat.
Outback dan ES8 di antara model produksi terawal dilengkapi teknologi tersebut dan dijangka digunakan secara meluas pada tahun-tahun mendatang.
Sebuah lagi model Asia ialah Toyota Mirai dan canggih dengan teknologi hydrogen fuel cell untuk menghasilkan tenaga elektrik yang diperlukan bagi menggerakkan motor elektrik kereta.

Hidrogen disimpan di dalam tangki bertekanan tinggi dan aspek keselamatan sangat penting untuk teknologi sebegini.
Memahami tentang pengguna yang mungkin khuatir dengan teknologi tersebut, Euro NCAP memberikan perhatian lebih pada aspek keselamatan pelanggaran dan selepas pelanggaran Mirai.
Euro NCAP mendapati bahawa teknologi janaan hidrogen tersebut tidak mempengaruhi aspek keselamatannya.
Jelas di sini bahawa badan keselamatan bebas seperti Euro NCAP sangat penting dan selama bertahun-tahun telah berjaya mencorakkan standard keselamatan global dan secara langsung menaikkan kredibiliti pengeluar di mata pengguna.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
