Kereta hidrogen bakal dapat fokus di Malaysia selepas 2024?

oleh HEZERI SAMSURI|
Menarik bila saya terbaca tempohari satu artikel dari The Star yang memetik pendapat seorang pakar industri bahawa kenderaan berkuasa hidrogen akan melihat peningkatan penggunaanya di Malaysia selepas tahun 2024.

Ini bermakna dalam tempoh tidak sampai dua tahun, jumlah kenderaan hidrogen di Malaysia akan bertambah.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Mungkin pakar ini terlupa bahawa di dalam planet bumi ini, cuma ada dua model kenderaan berkuasa hidrogen yang boleh dibeli oleh pengguna, iaitu Toyota Mirai dan Hyundai Nexo.

Dan di Malaysia, setahu saya, cuma kerajaan Sarawak memiliki beberapa unit kenderaan itu dan cuma ada satu sahaja stesen pengisian hidrogen di negeri itu.

Beliau juga berkata pihak kerajaan perlu membuat pelaburan untuk memperbaiki teknologi hidrogen. Ini satu cadangan yang cukup baik.

Katakan kita mampu menghasilkan teknologi hidrogen yang lebih murah dan mampan (walaupun satu dunia masih terkial-kial mencari solusi ini).

Adakah Malaysia mampu meminta syarikat kenderaan terus menghasilkan kenderaan hidrogen dalam masa setahun dua selepas kita berjumpa dengan teknologi mistik itu? 

 

 

Dunia kepenggunaan automotif merangkumi satu ekosistem yang cukup meluas. Ia bukan hanya bergantung kepada harga jualan, tetapi ia berkait rapat dengan kos pemilikan dan juga praktikaliti teknologi itu sendiri.

Saya rasa terhibur bila membaca pendapat tersebut dari seorang pakar yang juga adalah presiden kepada persatuan yang memberi pinjaman untuk kenderaan terpakai kerana kita semua sedia maklum industri itu hanya memberikan nilai yang tinggi untuk kenderaan-kenderaan lazim seperti dari jenama Toyota, Perodua dan Honda sementara kenderaan-kenderaan berteknologi seperti hibrid dan EV akan dihukum dengan harga terpakai yang sangat rendah.

Saya kira ini ialah hasil dari sistem pemikiran di mana "saya sudah lama pandu kereta, jadi saya memang tahu pasal industri kereta".

Sememangnya, industri automotif memang sudah lama membuat kajian tentang hidrogen dan hampir kesemua pusat penyelidikan syarikat kenderaan luar negara yang pernah saya lawati sudah mempunyai kajian tersebut sejak lebih dari 15 tahun.

Sayangnya, teknologi yang tidak menjanjikan sebarang pulangan besar sukar menerima bantuan kewangan dan kos untuk menjadikan hidrogen sebagai tenaga mudah untuk penggunaan awam masih terlalu tinggi.

Sekiranya benar teknologi itu wujud, ia akan mengambil masa 10 tahun untuk matang dalam pasaran dunia dan apa akan jadi dengan pelaburan yang telah kita lakukan untuk memasang pengecaj-pengecaj yang ada sekarang?


* Klik pautan dibawah untuk ke artikel The Star tersebut

https://www.thestar.com.my/news/nation/2023/09/27/hydrogen-powered-cars-to-see-more-prominence-in-malaysia-after-2024

 

 

 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Sudah semestinya hidrogen dilihat sebagai salah satu alternatif penjana kuasa yang dapat membantu…
Berita Global
Namun, bagi mereka yang memiliki pandangan yang tajam boleh membezakannya dengan melihat struktur…
Berita Global
Sedan Honda FCX Clarity telah pun wujud di pasaran sejak tahun 2018 lagi, dan sempat bertahan…