Kereta generasi baharu bakal terima ciri beg udara di luar kenderaan

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kereta kini bukan sekadar objek empat roda untuk membawa manusia daripada poin A ke poin B, ia kini sebuah kompleks integrasi teknologi dengan pelbagai ciri yang dimuatkan untuk memastikan keselamatan pengguna lebih terjamin. 

Bermula daripada beg udara, sistem brek anti-kunci, kawalan cengkaman, kawalan kestabilan elektronik, sehinggalah kepada ciri keselamatan aktif, anda kini tertanya-tanya sampai ke tahap mana ia mampu diperkembangkan. 

Jika sistem keselamatan aktif seperti kawalan pelayaran adaptif dan sistem brek kecemasan automatik masih tidak mampu untuk menyelamatkan keadaan, bagaimana sekiranya kenderaan mempunyai beg udara di bahagian luar?
 


Ini merupakan inovasi baharu yang dibawakan oleh ZF Friedrichshafen AG (bukan fried chicken), sebuah syarikat yang berpangkalan di Jerman dan telah menjalankan kajian selama 10 tahun ke atas beg udara luar ini.

Menurut ZF lagi, teknologi beg udara tersebut kini sudah tersedia dan ia boleh dimuatkan kepada kenderaan masa kini dengan fungsi yang sama, namun ia versi yang lebih besar untuk melindungi kenderaan.

Sistem ZF ini dimuatkan di bahagian panel sisi pintu yang mampu meletuskan beg udara yang cukup besar untuk merangkumi bahagian pintu. 

Komponen sensor di bahagian sisi kenderaan akan mengesan dan memantau sebarang ancaman yang dilihat mampu menghentam kereta sebelum menganalisis keadaan dan meletuskan beg udara - semuanya dilakukan dalam masa kurang daripada 100 milisaat. 

Faedahnya?

 


Beg udara luar ini akan mengurang dan menyerap segala daya impak yang selalunya menyebabkan kerosakan yang teruk kepada kereta yang terlibat.

Menurut ZF lagi, teknologi beg udara ini sebenarnya mampu mengurangkan kadar kecederaan kepada penumpang sebanyak 20-30%.

Bercakap soal alat pengesan, ZF akan menggunakan beberapa komponen seperti sensor radar, kamera dengan sudut penglihatan yang lebih luas serta Lidar sensor - sebuah alat pengesan yang menggunakan teknologi gelombang cahaya yang lebih jitu dan tepat untuk mengesan sebarang objek mendatang.

Ia juga boleh digandingkan dengan ciri keselamatan terkini seperti sistem amaran pra-pelanggaran, sistem brek kecemasan automatik, dan kawalan pelayaran adaptif. 

ZF mensasarkan sekurang-kurangnya dua tahun untuk memastikan teknologi ini dipasangkan secara massa, ini kerana mereka masih lagi mengkaji sebarang kemungkinan yang tidak diketahui kepada sistem beg udara yang mereka bangunkan. 
 

Sumber: ZF Friedrichshafen AG menerusi Popular Mechanics