Kereta ditarik? Apa proses sebenar menurut Fadly Hashim -The Racing Lawyer

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Sudah menjadi adat berhutang, jika tidak dibayar, maka barang yang dibeli perlu dipulangkan dan sekiranya tidak, akan datang rakan-rakan untuk membawa barangan itu pulang ke tuannya.

Kejadian video viral yang dikatakan berpunca dari kes penarik kereta (car repossessor) datang untuk mengambil kenderaan seorang lelaki yang kemudiannya berang dan melanggar sebuah Proton Wira dalam usaha untuk melarikan diri berjaya membawa kembali isu-isu hak pengguna apabila kenderaan mereka ditarik kerana tidak dapat meneruskan pembayaran.

video tarik

Sebelum kita mulakan, kita harus faham bahawa pihak pemberi pinjaman (institusi kewangan contohnya) mempunyai hak untuk mengambil balik kenderaan itu jika bayaran tidak dilakukan dalam tempoh beberapa bulan, seperti yang dipersetujuji oleh peminjam ketika mengambil pinjaman.

Namun begitu, pembeli juga masih mempunyai hak kerana pembayaran telah dilakukan, walaupun tidak penuh. Akta juga ada yang akan membela hak peminjam, yang juga seorang pengguna.

Careta bukan seorang yang arif di dalam hal perundangan dan kerana itu, kami menjemput seorang pelumba terkenal dan juga seorang pelumba professional, Mohd Fadly Hashim atau yang juga lebih dikenali sebagai The Racing Lawyer untuk memberikan nasihat berdasarkan pengalaman beliau sebagai seorang peguam yang masih lagi berkhidmat.

fadly 2

 

Insya Allah, Fadly akan mula menulis di Careta dalam ruangan perundangan, dan pembaca Careta dijemput untuk menghantar soalan-soalan anda agar kita semua diperkasa dengan ilmu.

Di bawah ialah artikel Fadly khas untuk pembaca Careta.

 

PROSES MENARIKBALIK KENDERAAN DI BAWAH AKTA SEWA BELI 1967

Baru-baru ini terdapat satu video viral yang mengenai ketidakpuasan hati seorang tuan punya kereta terhadap penarik kereta.

Di dalam video tersebut memperlihatkan tuan punya kereta tersebut telah melanggar dari belakang sebuah kereta lain yang berkemungkinan kepunyaan penarik kereta.  Saya tidak ingin membincangkan siapakah yang bersalah didalam kes ini. Apa yang saya ingin terangkan sedikit sebanyak proses penarikan balik kereta oleh pihak Bank.

Pertama, kita perlu dan  kena tahu, bilamana kita memasuki Perjanjian Jual Beli dengan pihak Bank, maka, kereta yang terlibat bukan milik kita. Hak milik adalah dituntut oleh pihak BANK.  

Selagi hutang bank tidak dijelaskan sepenuhnya kepada pihak bank maka terimalah hakikat bahawa kereta tersebut adalah milik pihak BANK.

Pun demikian, pihak bank bukanlah sewenang-wenangnya boleh menarik balik kereta kita. Terdapat beberapa proses yang perlu diikuti oleh pihak bank.

Bilakah pihak Bank boleh memulakan proses tarikbalik kereta anda?

Jawapannya adalah bila mana anda mempunyai kemungkiran pembayaran ansuran 2 kali berturut-turut, pihak Bank akan mengeluarkan dan menyerahkan Notis Jadual Keempat kepada anda melalui alamat sebagaimana didalam Perjanjian Jual Beli atau alamat terakhir yang dimaklumkan kepada pihak Bank oleh anda.

Keadaan ini terpakai sekiranya jumlah baki pinjaman belum mencapai tahap 75% dari jumlah keseluruhan jumlah pinjaman.

NOTIS 2

 

Tetapi sekiranya  anda mempunyai kemungkiran bayaran ansuran 2 kali berturut-turut dan anda telah membayar harga tunai keseluruhan kereta melebihi 75%, maka selain mengeluarkan Notis Jadual Keempat, pihak Bank perlu mendapatkan Perintah dari Mahkamah.

Proses ini akan mengambil masa dan sekiranya anda mempunyai kesedaran, cubalah menyelesaikan tunggakkan yang ada.

Perlu diingat bahawa  Notis Jadual Keempat memberikan tempoh 21 hari kepada anda untuk membuat penyelesaian dan selepas tamat tempoh 21 hari, sekiranya anda masih tidak menyelesaikan tunggakan, Bank hendaklah mengeluarkan Notis Niat Menarikbalik Kenderaan di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Permohonan Permit dan Tatacara Pemilikan Semula Barangan) 2011 yang memberikan masa selama 14 hari kepada anda untuk  membuat penyelesaian.

TARIK

 

Hanya selepas  tamat tempoh 14 hari Notis Peraturan 15 itulah Bank boleh mengeluarkan perintah penarikan balik kenderaan kepada Ejen Perolehan Semula (EPS).  

Masalah yang selalu timbul adalah semasa EPS hendak menarikbalik kereta anda. Seringkali berlaku ketidakpatuhan samada dipihak anda sendiri mahupun dipihak EPS. 

Di sini beberapa fakta mengenai EPS.

1) EPS tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Permohonan Permit dan Tatacara Pemilikan Semula Barangan) 2011. 

2) Semua ejen EPS hendaklah mempunyai permit yang sah yang dikeluarkan oleh Kementerian. 

3) Apabila hendak menarikbalik kenderaan, EPS hendaklah :

  • mengemukakan dan menunjukkan permit yang sah, 
  • mengemukakan dan menunjukkan kad pengenalannya dan 
  • mengemukakan perintah pemilikan semula daripada bank atau daripada Mahkamah. 
  • EPS wajib berjumpa dengan anda semasa hendak menarik kereta anda.
  • Laporan polis tidak diperlukan oleh EPS untuk menarik kereta atau selepas menarik kereta anda

4) EPS hanya boleh menarik kenderaan dari jam 9 pagi hingga 9 malam.

 

3 BULAN

 

Semasa pihak EPS hendak menarik kereta anda, jangan panik, jangan menangis, anda sepatutnya sudah menjangkakan bahawa suatu hari nanti pihak Bank pasti akan menarik kereta anda sekiranya terdapat tunggakan.

Apa yang perlu  anda buat semasa kereta ditarik adalah catatkan perkara-perkara berikut. 

1) nama ejen, 
2) nombor permit, 
3) nama dan alamat bank dan 
4) tempat menyimpan kenderaan yang ditarik. 

Selepas kereta anda ditarik oleh pihak Bank, masalah anda tidak habis disitu sahaja.

Anda perlu berusaha untuk membayar jumlah tunggakan yang ada bagi membolehkan anda mendapat kembali kereta anda.

Pihak Bank akan mengeluarkan Notis Jadual Kelima dengan memberikan tempoh 21 hari kepada anda untuk  menyelesaikan tunggakan dan/atau keseluruhan hutang.

Notis Jadual Kelima juga akan disertakan suatu notis penerimaan kereta yang ditarik yang mesti menyatakan jenis kereta yang ditarik, bila ditarik dan tempat ditarik. 

lelong

 

Jika tamat tempoh 21 hari tersebut penyewa masih tidak menyelesaikan tunggakan dan tidak mengambil semula kenderaan, maka anda bertabahlah kerana pihak Bank boleh melelong kereta anda dengan mengeluarkan Notis Lelongan dengan menyatakan tarikh, masa dan tempat lelongan yang akan dijalankan.

Anda perlu ingat juga bahawa sekiranya jumlah lelongan kereta masih tidak dapat menampung jumlah hutang pinjaman, pihak Bank berhak untuk meneruskan proceding seterusnya ke Mahkamah bagi mendapatkan lebihan hutang, masalah anda masih belum selesai.

Berbalik kepada tindakan EPS yang sekiranya terdapat  penyalahgunaan kuasa atau menggunakan kekerasan semasa proses penarikan kereta anda, anda boleh membuat aduan kepada pihak Bank dan pada masa yang sama anda juga boleh membuat aduan kepada pihak Bank Negara Malaysia.  

Siasatan dan tindakan akan diambil sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan Undang-Undang samada dipihak Bank mahupun dipihak EPS.

 

- Mohd Fadly Hashim -
  The Racing Lawyer

fadly

 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut laporan Astro Awani, tiga suspek tersebut ditahan di tiga lokasi berasingan di Butterworth…
Berita Domestik
  "Sebuah kenderaan milik penunda kenderaan dipecahkan di cermin hadapan.   "Berikutan itu,…
Berita Domestik
  Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, berkata dalam kejadian…